Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Masalah dan Cabaran Dalam Dunia Pendidikan Bahasa Melayu



MASALAH DAN CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN BAHASA MALAYSIA

Guru-guru Bahasa Melayu sering berhadapan dengan situasi pelajar berbangsa Melayu yang beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak perlu dipelajari lagi kerana mereka menuturkan bahasa Melayu setiap hari. Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan bahasa kerana menganggap perkara itu betul dan tidak salah. Tambahan pula, mereka menjadikan media massa sebagai rujukan. Walaupun media massa pada hari ini menunjukkan kesungguhan untuk membetulkan kesalahan bahasa tetapi masih terdapat kesalahan masih lagi dianggap betul. Oleh itu, kita haruslah membetulkan kesalahan yang biasa dilakukan dan membiasakan perkara yang betul.

      Bahasa yang terdapat pada papan iklan atau papan tanda jalan juga banyak yang salah. Kita sering melihat kata-kata seperti Selekoh Merbahaya, Raju Klinik, Minah Restoran, Pusat Membeli-belah dan beberapa kesalahan lain. Oleh itu, pihak yang berkuasa dalam menguatkuasakan bahasa ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk memantau kesalahan bahasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekiranya masalah ini tidak dilakukan sudah tentu banyak pihak yang menganggap kesalahan tersebut bukan satu kesalahan.

      Selain itu, pengaruh bahasa sistem pesanan ringkas (sms) juga menyebabkan masalah ini semakin membarah. Para pelajar sepatutnya tidak terpengaruh dengan bahasa sms semasa menulis karangan. Mereka seharusnya membezakan bahasa sms dengan bahasa penulisan karangan. Bahasa sms memang sesuai digunakan semasa hendak menghantar pesanan ringkas tetapi tidak sesuai digunakan dalam karangan atau dalam majlis formal. Antara bahasa sms yang popular digunakan sekarang seperti sape, takyah, takde, xde, ko, keje, ak, gi, camne, katne dan watpe.

      Pengaruh bahasa Inggeris pula memang tidak dapat dielakkan tetapi hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh menggunakan ‘merojakkan’ bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Perkara inilah yang dikatakan merosakkan bahasa atau sekerat ular, sekerat belut dan bercampur aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan.

      Bagi pelajar-pelajar pula, mereka kurang berminat untuk mempelajari peraturan atau rumus tatabahasa. Oleh itu, mereka tidak mengetahui alasan atau sebab kesalahan yang telah dilakukan. Sebagai contohnya, mereka menggunakan perkataan yang tidak baku dalam jawapan seperti analisa, minima, optima, tengahari, pasaraya, alatulis, aturcara, barisan guru-guru dan perkataan-perkataan yang lain. Sepatutnya, mereka perlu mengetahui alasan atau sebab sesuatu kesalahan bahasa itu untuk memantapkan penguasaan bahasa mereka.

      Kesalahan lain yang kerap kali dilakukan adalah dari segi sebutan baku iaitu sepatutnya sebutan mengikut ejaan. Aspek sebutan ini kebiasaannya kurang dititikberatkan oleh pengguna bahasa terutamanya pelajar. Perkataan yang selalu disebut dengan pelbagai sebutan seperti nasionalisme, peka, psikologi dan automatik. Oleh itu, bagi para pengguna bahasa, perlu menyebut sesuatu perkataan itu mengikut ejaannya agar sistem bahasa kita ini dapat ditingkatkan. Walaupun, bunyinya agak janggal tetapi kita perlu membiasakannya agar menjadi satu kebiasaan.

            Izharnya, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memelihara bahasa kebangsaan ini agar terus dinamik dalam meniti ranjau zaman yang kian mencabar ini. Jika anak-anak muda masa ini tidak menggunakan bahasa yang kita cintai ini dengan betul, tidak mustahil Bahasa Melayu ini akan luput ditelan zaman seperti bahasa Sanskrit dan bahasa Latin. Sesungguhnya generasi muda kini amat berperanan dalam menjadikan Bahasa Melayu gah di persada antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.









  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

4 Komen:

Unknown berkata...

menarik...minta share

Pencinta Bahasa berkata...

Okay..

Pencinta Bahasa berkata...

Okay..

Mestan berkata...

Sgt berinformasi..sedikit membantu dalam kajian sy..Tq..

Catat Ulasan