Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Kem Pemantapan PMR 2013

Bertarikh 24 Julai 2013, para atlet SSBJ yang bakal menempuh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah telah mengikuti satu lagi kem yang dibuat bertujuan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan penguasaan mereka dalam mata pelajaran.

Kem Pemantapan ini diadakan selama tiga hari bertempat di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Setiap mata pelajaran diberikan satu slot selama dua jam untuk diisi dengan aktiviti-aktiviti yang dirasakan sesuai untuk memantapkan pemahaman pelajar dalam menghadapi peperiksaan.

Panitia Bahasa Malaysia diberikan ruang pada hari pertama seawal jam 8.00 pagi sehingga jam 10.00 pagi. En. Samsyul Hisyam bin Abdul Manap telah menjadi penceramah dalam tempoh berkenaan dengan dibantu oleh Pn. Siti Zaharah binti Othman dan En. Muhd. Nor Shamsul Bahari bin Sikandar.

Dalam ceramah beliau, En. Samsyul Hisyam telah menyentuh kesalahan-kesalahan yang biasanya dilakukan oleh para pelajar terutamanya dalam penulisan karangan. Kesalahan-kesalahan ini telah dipaparkan di skrin untuk diterangkan kepada para pelajar dengan tujuan kesilapan berkenaan tidak diulang lagi.

Kemudiannya, para pelajar telah diedarkan dengan sehelai kertas untuk menuliskan masalah-masalah yang dihadapi dalam menjawab soalan Bahasa Melayu ketika peperiksaan. Setiap soalan berjaya dijawab oleh guru-guru yang membantu dalam sesi ceramah berkenaan.

Kesimpulannya, aktiviti sebegini amat baik dalam mendedahkan para pelajar tentang aspek yang perlu ditekankan ketika menghadapi peperiksaan. Pesanan guru-guru Bahasa Melayu SSBJ agar kalian menjawab setiap soalan yang diajukan dalam peperiksaan. Usah menyerah sebelum kalah sebaliknya berjuang sehingga ke titisan keringat yang terakhir. Kejayaan sentiasa menanti pelajar yang tekun berusaha.

Para pelajar tekun mendengar ceramah yang disampaikan

Sebahagian besar pelajar tingkatan 3 yang hadir

Pn. Siti Zaharah yang banyak membantu dalam menyampaikan ceramah

En. Samsyul Hisyam menunjukkan kesalahan-kesalahan pelajar dalam karangan

En. Muhd. Nor Shamsul Bahari memantau dari belakang dewan

Para pelajar menumpukan perhatian terhadap perkara yang disampaikan

Kesalahan dalam karangan menjadi inti ceramah yang disampaikan

Teruja mendengar ceramah yang disampaikan

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Manchester City Iktiraf Bahasa Melayu


Kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga kerana kelab bola sepak ternama Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester City telah mengiktiraf penggunaan Bahasa Melayu dalam laman sesawang rasmi kelab berkenaan.

Langkah ini dilihat mampu menarik lebih ramai peminat terutamanya dari negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan. Walaupun dilihat hanya sebagai strategi pemasaran kelab berkenaan untuk dikenali, namun langkah tersebut membuatkan bahasa kita lebih dikenali di peringkat global.

Tidak mustahil juga suatu hari nanti kita akan melihat kelab-kelab sukan bola sepak ternama yang lain juga akan menggunakan pendekatan yang sama dalam mengembangkan jenama kelab masing-masing ke negara serantau kita.

Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia, tidak perlu malu untuk bertutur dalam Bahasa Melayu sebaliknya berusaha untuk memartabatkan lagi bahasa kita di persada antrabangsa.


Laman sesawang rasmi Kelab Bola Sepak Manchester City.

Baca berita selanjutnya DI SINI.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kem Motivasi PMR & SPM 2013


Pada 19 hingga 21 Julai yang lalu, Sekolah Sukan Bukit Jalil telah mengadakan satu Kem Motivasi yan bertempat di Ayer Keroh D'Village, Melaka. Kem ini dianjurkan khas untuk menaikkan semangat para pelajar untuk menghadapi peperiksaan awam yang bakal menjelang pada bulan Oktober dan November nanti.

Seramai 59 orang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 95 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan diiringi 18 orang guru telah bersama-sama sepanjang tempoh kem berlangsung. Selain ceramah motivasi, majlis makan malam yang berkonsepkan Retro juga turut dianjurkan bagi meredakan tekanan menjelang hari-hari peperiksaan.

Harapan pihak Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Panitia Bahasa Malaysia SSBJ amat besar dalam melihat kejayaan yang bakal dicetak dalam peperiksaan. Walaupun para pelajar sibuk menjalani latihan sukan masing-masing, namun inisiatif yang diambil oleh pihak sekolah ini wajar dipuji dalam meningkatkan prestasi akademik sekolah ke tahap yang tertinggi.

Syabas buat para atlet pelajar yang telah menghadirkan diri dalam kem ini. Doa kami para guru sentiasa mengiringi dalam medan perjuangan menghadapi peperiksaan yang bakal menentukan masa hadapan kalian. Semoga kalian akan terus berjaya dalam meniti ranjau kehidupan yang pastinya kian mencabar dari hari ke hari. 

Para pelajar yang sibuk menyalin nota

Tekun mendengar motivasi

Segak semuanya

Para pelajar tidak melepaskan peluang untuk bergambar

Puteri-puteri SSBJ yang sempat bergaya

Sebelum acara bermula

Para pelajar yang mengadakan persembahan

Cabutan bertuah untuk yang bertuah

Kacak bergaya atlet pelajar tingkatan 5

Antara aktiviti yang dijalankan

Para pelajar sibuk menantikan acara bermula

Pemenang Raja dan Permaisuri Retro
Klik DI SINI untuk melihat lebih banyak gambar sepanjang kem berlangsung.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tahniah Soo Teck Zhi

Bekas atlet pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil telah mengharumkan nama Malaysia dengan menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Asia 2013 yang berlangsung di Likas, Sabah. Atlet kelahiran Selangor itu mula menjejakkan kaki di SSBJ sebagai pelatih BAM pada 18 Februari 2008 dalam Tingkatan 1.

Kesungguhan jaguh muda berkenaan sepatutnya menjadi contoh kepada remaja-remaja lain yang masih bersekolah untuk menyimpan suatu matlamat dan keazaman untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi sebagai kerjaya pada masa hadapan.


ARENA badminton tanah air kembali bersinar selepas pemain remaja negara, Soo Teck Zhi mengesahkan statusnya sebagai jagoan muda rantau ini dengan kejayaan muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia Bawah 19 100Plus semalam.

Berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri, Teck Zhi jelas berada pada kelas tersendiri untuk menumpaskan bintang sensasi Korea Selatan, Jeon Hyuk Jin pada aksi final di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, pemain berusia 18 tahun kelahiran Selangor itu menang 21-17, 13-21, 21-15 ke atas Hyuk Jin dalam permainan yang berlangsung selama 55 minit.

Menurut Teck Zhi, kejayaan yang dilakar di bumi Kota Kinabalu itu adalah permulaan kepada misinya bergelar juara remaja dunia.

“Sebenarnya saya patut beraksi pada kejohanan ini (Kejohanan Remaja Asia) sejak tahun lalu lagi, namun terpaksa dilupakan ekoran komitmen pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia.

“Justeru, saya menggunakan segala peluang yang ada tahun ini dan hari ini (semalam), saya berjaya melakukannya apabila muncul juara perseorangan lelaki,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah semalam.

Teck Zhi turut melahirkan rasa bangga apabila dia menjadi satu-satu produk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berjaya muncul juara remaja Asia.

“Seharusnya saya berterima kasih dengan sokongan peminat di stadium ini yang banyak membantu kejayaan hari ini (semalam).

“Kini, dengan persiapan rapi yang dilakukan di bawah kendalian jurulatih, saya yakin dapat mengulangi pencapaian ini untuk bergelar juara remaja dunia,” ujarnya.

Lebih manis, kejayaan yang dilakar Teck Zhi itu berjaya mengulangi pencapaian gemilang pemain negara, Zulfadli Zulkifli yang muncul kejohanan yang sama di India dua tahun lalu.

Sebagai rekod, antara jaguh badminton dunia yang pernah bergelar juara remaja Asia termasuklah trio China - Lin Dan, Chen Jin dan Chen Long selain pemain Jepun, Kenichi Tago dan Park Sung-Hwan dari Korea Selatan.

Kejohanan Remaja Dunia Bawah 19 dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 23 Oktober hingga 3 November depan.

Kosmo!, Isnin, 15 Julai 2013

Sumber : Kosmo! Online

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kejayaan Pandalela Bukti Kejayaan Kerajaan Wujud Sekolah Sukan



Kejayaan Pandalela Bukti Kejayaan Kerajaan Wujud Sekolah Sukan


ALOR SETAR: Kejayaan atlit terjun negara, Pandelela Rinong meraih pingat gangsa Olimpik dalam acara 10 meter platform wanita membuktikan kejayaan kerajaan dalam mewujudkan sekolah sukan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata, kemenangan Pandelela, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, membuktikan usaha Kementerian Pelajaran menubuhkan sekolah sukan boleh membantu negara meraih pingat pada temasya sukan antarabangsa.

"Kontinjen negara kini tidak hanya bergantung kepada acara badminton untuk memperoleh pingat negara dalam Sukan Olimpik," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek bantuan modal kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Kedah di SRJKC Keat Hwa di sini, hari ini.

Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata, di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan gelarannya dengan 422.30 mata dan pingat perak menjadi milik penerjun Australia, Brittany Broben dengan 366.50 mata. 

Sementara itu, Wee berkata, Kementerian Pelajaran hari ini menyerahkan cek bantuan modal berjumlah RM6.975 juta iaitu sebanyak RM5.625 juta kepada 68 SRJKC dan RM1.35 juta kepada empat SMJK di Kedah. 

Beliau berkata, peruntukan itu adalah daripada peruntukan RM100 juta kepada SJKC, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Mubaligh di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012. 

"Di Kedah terdapat tujuh Sekolah Mubaligh yang akan menerima peruntukan tersebut sebanyak RM1.45 juta dan kita akan serahkan dalam tempoh terdekat," katanya. 

Mengulas dakwaan bahawa peruntukan kepada sekolah tersebut tidak mencukupi, Wee berkata, perkara tersebut tidak pernah berlaku memandangkan pihak kementerian telah membuat kajian sebelum memberi peruntukan itu. 

"Kalau sekolah itu hendak buat bangunan sekolah, kita akan turun padang dan buat kajian mengenai kos yang diperlukan sebelum meluluskan peruntukan tersebut," katanya. - BERNAMA

Berita Harian, Jumaat, 10 Ogos 2012

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Faedah-Faedah Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan



Faedah-Faedah Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan

Soalan : Pada tahun 2011, kerajaan telah memperkenalkan program 1Murid 1Sukan untuk memastikan semua murid terlibat dalam bidang sukan. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti  sukan dalam kalangan murid.

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Pada tahun yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Persoalannya apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti  bersukan?

Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. Hal ini demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatih.  Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut membentuk disiplin murid tersebut.

Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Misalanya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang akan membakar lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan.

Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk  memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya  belajar.  Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.

Faedah berikutnya, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi serta tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei  tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pingat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif.

Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain permainan komputer dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berpeleseran di pusat beli-belah, menonton televisyen dan berbual-bual kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.

Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawa faedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan.  Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS