Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Rencana : Ketagihan Telefon Pintar

KETAGIHAN TELEFON PINTAR

Oleh : Samsyul Hisyam bin Abdul Manap

Pernahkah kita berhadapan dengan situasi yang menjengkelkan apabila semua orang yang duduk di satu meja makan yang sama tetapi masing-masing bukannya menghadap makanan yang terhidang sebaliknya ‘menadah tangan’ memicit-micit butang yang tersedia pada paparan telefon pintar? Situasi ini berlaku di semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak sehinggalah kepada golongan dewasa yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik di meja makan. Sebagaimana acuan begitulah kuihnya merupakan peribahasa yang sesuai dalam mengaitkan perilaku ibu bapa yang akan dicontohi oleh anak-anak yang masih kecil. Dalam kita menelusuri dunia yang serba canggih ini, gejala ketagihan telefon pintar seakan menjadi igauan ngeri dalam pembentukan modal insan yang bakal menerajui negara suatu masa nanti. Jika diperhalusi ada banyak keburukan apabila seseorang itu ketagih dengan telefon pintar. 

            Kesan negatif paling utama dalam ketagihan telefon pintar ini ialah hubungan kekeluargaan akan menjadi renggang. Masakan tidak kerana waktu senggang yang ada digunakan oleh anak-anak mahupun ibu bapa untuk melayari laman sosial masing-masing dengan menggunakan telefon pintar. Pada cuti hujung minggu, anak-anak akan mengemas kini status laman sosial bertanyakan khabar kawan-kawan di alam maya. Jika dulu ibu sibuk mengemas rumah pada hujung minggu tetapi kini mereka ‘sibuk’ mengemas kini status di laman Facebook, “masak apa hari ini?”. Komunikasi antara ahli keluarga berkurangan dan mereka lebih selesa untuk berbual dengan rakan-rakan di laman-laman sosial. Aktiviti riadah ataupun berkelah yang sepatutnya menjadi aktiviti wajib semasa cuti sekolah yang panjang juga tidak akan mencapai objektifnya untuk mengeratkan hubungan silaturahim jika setiap ahli keluarga masih memegang telefon pintar masing-masing.

            Selain daripada merenggangkan hubungan kekeluargaan, ketagihan terhadap telefon pintar juga boleh mengakibatkan kelekaan. Golongan remaja khususnya banyak menghabiskan masa dengan aplikasi sembang di alam maya. Alasan paling utama digunakan dalam ‘menghalalkan’ tindakan berkenaan adalah untuk menambahkan kenalan kononnya bak peribahasa berkawan biar beribu, berkasih biar satu. Namun demikian, dalam tidak disedari, golongan remaja ini akan leka dengan aplikasi sembang maya seperti Whatsapp, Bigo dan Wechat sehingga menghabiskan masa berjam-jam setiap hari. Kesannya, fokus mereka terhadap pelajaran akan berkurangan dan akan menyebabkan prestasi akademik kian merosot dari hari ke hari. Ada yang mengatakan mereka mampu membahagikan masa dengan baik, namun kebanyakannya akan hanyut dibuai kelekaan dan keseronokan yang dibawa oleh aplikasi dalam telefon pintar masing-masing.

            Berbalik kepada sembang maya ini, remaja kita mudah terpengaruh dengan aplikasi berkenaan yang memburukkan lagi budaya sosial di negara kita. Sebut sahaja Wechat, pastinya kita akan mengaitkan aplikasi berkenaan dengan golongan remaja yang sepatutnya menjadi tonggak kepada masa depan negara. Malangnya, melalui aplikasi berkenaan golongan remaja ini mula berjinak-jinak dengan seks luar nikah yang dimulakan dengan perbualan biasa. Janji-janji manis mudah ditabur golongan jejaka yang menjadikan ‘gadis Wechat’ ini mudah dibuai oleh perasaan. Tambahan pula tindakan mereka ini tidak dapat dihidu oleh ibu bapa yang sibuk keluar mencari rezeki demi sesuap nasi dan membesarkan anak-anak. Kenyataan ini tidak dapat disangkal lagi apabila akhbar-akhbar tempatan banyak melaporkan masalah akhlak remaja kini dalam laporan harian mereka.

            Kesan berikutnya akibat ketagihan telefon pintar ini termasuklah kita tidak dapat memberikan tumpuan terhadap sesuatu perkara. Hal ini turut diakui seorang pakar psikoterapi, penulis dan pakar motivasi, Nancy Colier, menerusi bukunya Inviting a Monkey to Tea: Befriending Your Mind and Discovering Lasting Contentment (2012).  Menurut beliau, dalam era digital ini, kita tidak lagi memberikan perhatian penuh kepada seorang individu sahaja. Apabila kita bersama dengan seorang rakan, sebahagian daripada diri kita sebenarnya tidak berada di sana. Secara sedar atau tidak, kita sedang menunggu untuk seseorang yang lain muncul pada skrin telefon pintar kita; sama ada panggilan ataupun mesej. Maka, secara terang-terangan, kita seolah-olah mendapati individu yang berada di hadapan atau di sebelah kita pada saat itu tidak mencukupi atau umpama tunggul kayu. Dalam sesetengah keadaan, individu yang ketagihan telefon pintar ini akan berasa resah dan gelisah apabila telefon pintar tiada di tangan laksana perokok tegar yang tidak merokok seharian.

            Memburukkan lagi keadaan, penagih telefon pintar ini mungkin secara tidak sedar mengganggu ketenteraman masyarakat di sekeliling mereka. Kita ambil contoh keadaan di pawagam. Ada sesetengah individu yang individualistik, tidak menetapkan telefon bimbit mereka dalam mod senyap. Kesannya, individu lain akan berasa terganggu semasa menonton wayang gambar dek kerana bunyi bising telefon bimbit berkenaan. Ada juga yang lebih parah sehinggakan di masjid yang merupakan tempat kita beribadat masih ada segelintir orang yang khusyuk ‘menadah tangan’ bukan untuk berdoa tetapi meneliti mesej-mesej yang masuk melalui sistem pesanan ringkas mereka. Masyarakat sedemikian sudah pasti akan menyusahkan orang lain dan menimbulkan rasa kurang senang dalam anggota masyarakat. Walaupun bukan semua yang bersikap sedemikian tetapi harus diingat peribahasa Melayu ada mengatakan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

           Ringkasnya, sekarang ini kebanyakan kehidupan kita dihabiskan dengan telefon pintar berbanding ahli keluarga. Bangun pagi sahaja telefon yang kita cari, pergi ke pejabat melayan Whatsapp di telefon, balik ke rumah mengadap telefon, anak menangis juga diberikan telefon, sudah hendak tidur juga masih bersama dengan telefon. Komunikasi antara manusia juga lebih banyak berlaku secara maya berbanding nyata. Pemandangan dan persembahan lebih dinikmati melalui paparan skrin telefon yang kecil. Tiada lagi kita meminta bantuan daripada orang lain untuk mengambil gambar kerana semuanya berswafoto dengan monopod. Lebih separuh rakan di Facebook langsung kita tidak kenal. Mengemis ‘Like’ dan ‘Follower’ menjadi keutamaan berbanding bertukar pendapat dan berkongsi ilmu. Mengambil gambar makanan di Instagram lebih utama daripada menikmati makanan. Paling teruk, perkara ini mengundang budaya riak dan takbur tanpa kita sedari. Oleh itu, kita perlu mengubah tabiat negatif ini dalam menjadikan masyarakat kita maju setaraf negara-negara maju yang lain.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kuiz Pengetahuan Am

Anda boleh cuba menjawab soalan-soalan pengetahuan am secara atas talian dengan klik pada gambar di bawah ini. Selamat mencuba.


Panduan mengikuti kuiz ini :

  1. Ajak beberapa orang rakan lain untuk bersaing.
  2. Boleh gunakan mana-mana alat peranti atau komputer.
  3. Pilih mod untuk menjawab kuiz (Individu / Kumpulan)
  4. Masukkan pin yang diberi.
  5. Jawab soalan dengan memilih simbol yang ditunjukkan selepas soalan diajukan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Permainan Teka Silang Kata - Buah

Sila selesaikan teka silang kata di bawah.


Melintang

2.     Berbuah di atas tanah.
4.     Raja buah
8.     Berbulu merah.
11.   Sangat berguna dari batang, daun hingga ke buahnya.
12.   Buah ini katanya dibawa belayar.
13.   Biji di luar.

Menegak

1.     Buah _________ di luar pagar.
3.     Ramai orang membuat jeruk.
5.     Kita boleh tahu bilangan ulasnya buah ini.
6.     Bijinya banyak.
7.     Adik beradik dengan duku.
9.     Umpama bintang di angkasa.
10.   Bermata tetapi tidak bergigi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kem Pemantapan SPM 2017

Sekolah Sukan Bukit Jalil telah mengadakan Kem Pemantapan SPM 2017 pada tarikh 17 - 21 Julai 2017. Kem yang diadakan di SSBJ ini bertujuan untuk menyampaikan teknik-teknik menjawab soalan SPM dalam subjek-subjek yang ditawarkan.

Sesi Bahasa Melayu telah dijadualkan berlangsung pada 20 Julai 2017 (Khamis) dari jam 10.00 pagi - 12.00 tengah hari. Penceramah yang dijemput khas iaitu Pn. Haslindar Nor (Guru Cemerlang) telah menyampaikan sesi perkongsian ilmu beliau dengan berkesan kepada lebih kurang 60 orang murid tingkatan 5 yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada bulan November nanti.

Harapan kami guru-guru Bahasa Melayu SSBJ agar murid-murid ini memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam Peperiksaan SPM dan Bahasa Melayu khususnya.

Pn. Haslindar Nor (Guru Cemerlang)

Sebahagian murid perempuan yang ceria mendengar ceramah

Dewan Kuliah yang dijadikan lokasi ceramah

Penyampaian cenderahati kepada penceramah oleh Ketua Panitia BM.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kuasa Hoki Thunderbolt


EMPAT sekolah projek Thunderbolt Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencipta sejarah tersendiri apabila mendominasi saingan Piala TNB Liga Hoki Remaja (MJHL) musim ini.

Empat sekolah itu iaitu Sukan Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolt), Sekolah Sukan  Bukit Jalil (SSBJ Thunderbolt), Anderson Thunderbolt dan Sekolah Sukan Pahang (SSP Thunderbolt) akan bertemu sesama sendiri dalam saingan separuh akhir yang akan bermula esok.

SSTMI Thunderbolt menepati ramalan selaku juara bertahan apabila mudah melayakkan diri dengan kemenangan 15-1 secara agregat selepas menang 8-0 pada suku akhir kedua menentang Perlis Young Lion Junior.

Anderson Thunderbolt pula mencipta kejutan terbesar apabila menewaskan naib juara musim lalu, UniKL Young Guns  5-4 secara agregat selepas seri 2-2 pada suku akhir kedua di Ipoh.
Manakala, SSBJ Thunderbolt juga tidak berdepan masalah untuk menang 10-0 dengan pasukan ‘adik’ SSBJ Juniors sekali gus mara ke pentas separuh akhir dengan kemenangan agregat 16-3.
Kecemerlangan projek TNB itu diteruskan SSP Thunderbolt yang mudah menjinakkan Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) 6-2 untuk layak 14-3 secara agregat ke separuh akhir.

Tidak pandang rendah SSP Thunderbolt
Bagi Pengurus Pasukan SSTMI Thunderbolt, Adam Izamry Idrus, pasukannya bakal bertemu SSP Thunderbolt di peringkat separuh akhir setelah kali terakhir bertemu dalam saingan liga menyaksikan SSTMI melakar kemenangan 3-1.

Namun, Adam Izamry tidak mahu terlalu yakin sebaliknya mengandaikan SSP Thunderbolt akan menukar corak permainan apabila bermain di peringkat yang lebih getir.

“Walaupun pernah menang dalam saingan liga, namun pusingan separuh akhir tentunya berbeza.
“Saya mengharapkan kemenangan ini akan memberikan keyakinan serta momentum yang cukup untuk hadapi SSP Thunderbolt,” katanya.

Menurutnya, semangat pemain juga sedang membara bagi memastikan dapat mengucup piala tersebut buat kali kelima.

Mahu cipta kejutan
Bagi ketua jurulatih SSP Thunderbolt, Mohd Sufian Mohamad, dia menghormati SSTMI Thunderbolt selaku pasukan pilihan dan juara bertahan namun tekad untuk mencipta kejutan.

Malah, perlawanan menentang Sekolah Sukan Malaysia Sabah di peringkat suku akhir digunakan sebaik mungkin bagi mencari keyakinan sebelum bertemu SSTMI Thunderbolt.

“Kami tidak terlalu yakin tetapi bermain untuk menang kerana sedar lawan di separuh akhir bukan mudah. Masih ada ruang memperbaiki beberapa kelemahan,” katanya.

Semangat Anderson membara
Selepas melakukan kejutan menyingkirkan naib juara tahun lalu UniKL, Anderson tekad meneruskan kemaraan, kali ini ingin membenam SSBJ Thunderbolt.

Pengurus pasukan, Saiyuti Samat berkata, pemainnya layak untuk bermain perlawanan akhir piala tersebut. “Saya beritahu pemain sebelum perlawanan (menentang UniKL) untuk memberikan yang terbaik dan mencipta sejarah tersendiri.

“Sekarang kami  ingin  terus melangkah ke depan dengan menewaskan SSBJ di peringkat separuh akhir,” katanya.

Sumber : Sinar Harian, 8 Mac 2016

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS