Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Kuasa Hoki Thunderbolt


EMPAT sekolah projek Thunderbolt Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencipta sejarah tersendiri apabila mendominasi saingan Piala TNB Liga Hoki Remaja (MJHL) musim ini.

Empat sekolah itu iaitu Sukan Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolt), Sekolah Sukan  Bukit Jalil (SSBJ Thunderbolt), Anderson Thunderbolt dan Sekolah Sukan Pahang (SSP Thunderbolt) akan bertemu sesama sendiri dalam saingan separuh akhir yang akan bermula esok.

SSTMI Thunderbolt menepati ramalan selaku juara bertahan apabila mudah melayakkan diri dengan kemenangan 15-1 secara agregat selepas menang 8-0 pada suku akhir kedua menentang Perlis Young Lion Junior.

Anderson Thunderbolt pula mencipta kejutan terbesar apabila menewaskan naib juara musim lalu, UniKL Young Guns  5-4 secara agregat selepas seri 2-2 pada suku akhir kedua di Ipoh.
Manakala, SSBJ Thunderbolt juga tidak berdepan masalah untuk menang 10-0 dengan pasukan ‘adik’ SSBJ Juniors sekali gus mara ke pentas separuh akhir dengan kemenangan agregat 16-3.
Kecemerlangan projek TNB itu diteruskan SSP Thunderbolt yang mudah menjinakkan Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) 6-2 untuk layak 14-3 secara agregat ke separuh akhir.

Tidak pandang rendah SSP Thunderbolt
Bagi Pengurus Pasukan SSTMI Thunderbolt, Adam Izamry Idrus, pasukannya bakal bertemu SSP Thunderbolt di peringkat separuh akhir setelah kali terakhir bertemu dalam saingan liga menyaksikan SSTMI melakar kemenangan 3-1.

Namun, Adam Izamry tidak mahu terlalu yakin sebaliknya mengandaikan SSP Thunderbolt akan menukar corak permainan apabila bermain di peringkat yang lebih getir.

“Walaupun pernah menang dalam saingan liga, namun pusingan separuh akhir tentunya berbeza.
“Saya mengharapkan kemenangan ini akan memberikan keyakinan serta momentum yang cukup untuk hadapi SSP Thunderbolt,” katanya.

Menurutnya, semangat pemain juga sedang membara bagi memastikan dapat mengucup piala tersebut buat kali kelima.

Mahu cipta kejutan
Bagi ketua jurulatih SSP Thunderbolt, Mohd Sufian Mohamad, dia menghormati SSTMI Thunderbolt selaku pasukan pilihan dan juara bertahan namun tekad untuk mencipta kejutan.

Malah, perlawanan menentang Sekolah Sukan Malaysia Sabah di peringkat suku akhir digunakan sebaik mungkin bagi mencari keyakinan sebelum bertemu SSTMI Thunderbolt.

“Kami tidak terlalu yakin tetapi bermain untuk menang kerana sedar lawan di separuh akhir bukan mudah. Masih ada ruang memperbaiki beberapa kelemahan,” katanya.

Semangat Anderson membara
Selepas melakukan kejutan menyingkirkan naib juara tahun lalu UniKL, Anderson tekad meneruskan kemaraan, kali ini ingin membenam SSBJ Thunderbolt.

Pengurus pasukan, Saiyuti Samat berkata, pemainnya layak untuk bermain perlawanan akhir piala tersebut. “Saya beritahu pemain sebelum perlawanan (menentang UniKL) untuk memberikan yang terbaik dan mencipta sejarah tersendiri.

“Sekarang kami  ingin  terus melangkah ke depan dengan menewaskan SSBJ di peringkat separuh akhir,” katanya.

Sumber : Sinar Harian, 8 Mac 2016

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 Komen:

Catat Ulasan