Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Melayu malu cakap Melayu

Oleh : Fazurawati Che (Lahfazurawati@hmetro.com.my)


KUALA LUMPUR: Tiada perasaan megah untuk berbahasa Melayu oleh segelintir masyarakat Melayu di negara ini, kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Termuzi berkata, sikap sedemikian menyebabkan ramai masyarakat kita segan atau malu bercakap dalam bahasa Melayu kerana menyifatkan bahasa ibunda tidak bernilai dimartabatkan.

Katanya, sikap itu menunjukkan bangsa Melayu memperlekeh bahasa sendiri dan usaha mengetengahkan bahasa kita ke peringkat antarabangsa gagal sekiranya kita terus memandang rendah kepada bahasa sendiri.

“Sedangkan bahasa Melayu sudah diketengahkan di semua institut pengajian tinggi (IPT) sejak 1980-an dan melahirkan ribuan yang layak berkhidmat dalam pelbagai sektor sains dan teknologi.

“Tambahan pula tidak pernah timbul isu kerajaan dari luar negara tidak mengiktiraf kelayakan pelajar kita, malah sudah banyak negara cuba merujuk penggunaan bahasa kita,” katanya ditemui di Majlis Program Setitik Budi Selautan Kasih, di sini, semalam.

Program berbentuk kemasyarakatan itu adalah kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan hadir sama Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Dr Azman Mat Isa.

Termuzi berkata, sokongan berterusan pihak kerajaan dan swasta penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu selain kesedaran tinggi setiap warga negara terutamanya masyarakat Melayu sama ada di peringkat rendah, pertengahan dan atasan bagi memastikan bahasa kita berada di tahap sewajarnya.

“Tidak semestinya kita meninggalkan bahasa Inggeris kerana ia juga perlu diperkukuhkan berikutan bahasa itu digunakan seluruh dunia,” katanya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 Komen:

Catat Ulasan