Bekas banduan jadi pelajar cemerlang SPM
21/03/2012 7:18pm
SHAH ALAM - "Kehidupan dalam penjara menginsafkan saya dan di dalam
penjara menyedarkan saya bahawa hanya ilmu yang mampu mengubah jalan
hidup saya dan saya percaya hanya ilmu yang mampu membersihkan nama
saya.
"Saya tekad duduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada
2010 dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun lepas, syukur ia rezeki
saya apabila berjaya," kata bekas banduan Muhammad Zainal Ariff Mat
Zain, 23.
Beliau yang dibebaskan dari Penjara Kajang Oktober lalu setelah
dipenjarakan sejak 2008 kerana terbabit dalam kegiatan jenayah, yang
tidak bersekolah sejak Tingkatan Satu kerana desakan hidup, memperoleh
keputusan 6A, 1B dan 1E.
Muhammad Zainal merupakan antara sembilan pelajar cemerlang SPM di
Selangor menerima keputusan peperiksaannya daripada Pengarah Pelajaran
Selangor, Abdullah Mad Yunus di sini hari ini.
Beliau yang menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Integriti Kajang
berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya
guru-guru serta pihak penjara yang banyak memberikan sokongan kepadanya.
Beliau yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang
perakaunan dan pengurusan berkata, pihak penjara memaklumkan kepadanya
yang mereka akan bantunya untuk mendapatkan tempat bagi melanjutkan
pelajarannya.
Muhammad Zainal Ariff, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan turut
menyampaikan pesan kepada mereka yang senasib dengan dirinya supaya
berani berubah kerana hanya diri sendiri yang mampu berbuat demikian. -
BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan