PENILAIAN MENENGAH RANDAH (PMR)
Karangan
Bahagian C
[40 markah]
Anda telah memenangi wang sebanyak RM 1
juta dalam satu peraduan yang telah diadakan oleh salah sebuah syarikat
multinasional.
Gambarkan cara anda membelanjakan wang
tersebut.
Pagi Isnin yang lalu saya telah
dikejutkan oleh satu panggilan telefon yang memberitahu bahawa saya telah
memenangi wang tunai sebanyak RM 1 juta. Berita kemenangan itu benar-benar
menggembirakan hati saya. Doa saya dan ahli keluarga agar saya memperoleh
kemenangan dalam peraduan yang disertai itu akhirnya menjadi kenyataan.
Berbagai-bagai cara terlintas di fikiran
saya untuk membelanjakan hadiah kemenangan itu.
Sebahagian kecil daripada wang
kemenangan itu akan saya gunakan untuk mengadakan kenduri kesyukuran. Seluruh
penduduk kampung akan saya panggil untuk meraikan kemenangan itu. Kanak-kanak
yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan miskin pula akan saya berikan
sedikit wang untuk berkongsi kegembiraan. Mudah-mudahan rezeki yang saya
peroleh ini akan lebih diberkati.
Selain itu, saya juga akan melaburkan
wang kemenangan yang banyak itu dalam Amanah Saham Bumiputera, membeli sijil
premium dan menyimpannya dalam Tabung Haji. Langkah ini penting dalam menjamin
simpanan di hari tua nanti. Tambahan pula, dengan menyimpan atau melaburkan
wang dalam bank-bank yang dijamin oleh kerajaan, wang kita akan selamat dan
akan memperoleh faedahnya.
Di samping itu, bagi memudahkan
pergerakan saya ke sekolah, saya akan membeli sebuah motosikal. Jika sebelum
ini saya terpaksa menggunakan bas awam untuk ke sekolah, kini saya boleh pergi
ke sekolah dengan lebih awal tanpa membuang masa menunggu bas awam yang ada
ketikanya lewat tiba. Secara tidak langsung, tidaklah saya membazirkan masa
untuk menunggu bas yang lewat itu kerana masa itu emas.
Seterusnya, saya juga akan
menyedekahkan sedikit wang kemenangan itu ke rumah anak-anak yatim sebagai
tanda kesyukuran. Hal ini demikian kerana saya percaya wang yang dibelanjakan
untuk kegunaan anak-anak yatim memberikan lebih keberkatan. Oleh itu,
mereka juga akan berasa seronok dan saya dapat berkongsi kegembiraan dengan
anak-anak yang telah kehilangan tempat bermanja dan bergantung harap itu.
Akhir sekali, sudah pasti saya
akan menghantar kedua-dua ibu bapa saya yang tercinta untuk menunaikan Rukun
Islam yang kelima iaitu mengerjakan haji. Sesungguhnya, wang ringgit yang
diberikan itu tidak dapat dinilai dengan pengorbanan mereka membesarkan saya
sehingga ke hari ini. Namun, hanya itu yang mampu diberi tatkala saya
memperoleh hadiah kemenangan yang agak besar nilainya.
Izharnya, tidak dapat digambarkan
dengan kata-kata betapa gembiranya hati saya pada ketika ini. Namun, saya perlu
berjanji kepada diri supaya menggunakan duit kemenangan itu dengan sebaik yang
mungkin. Hal ini demikian kerana jika saya tidak menggunakan duit kemenangan
itu dengan sebaik-baiknya tidak mustahil wang tersebut akan habis sia-sia ibarat
kata pujangga tunas yang muda akan mati jika selalu dipetik.
0 Komen:
Catat Ulasan