Tidak perlu jadikan sastera sebagai subjek wajib - Puad Zarkashi
02/04/2012 1:59pm
KUALA LUMPUR 2 April 2012 – Pembelajaran sastera sebagai subjek elektif
di sekolah menengah sekarang sudah mencukupi dan tidak perlu
diperluaskan sebagai mata pelajaran wajib dalam sistem persekolahan
kebangsaan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, selain
sebagai subjek elektif di Tingkatan Empat dan Lima, sastera juga
didedahkan kepada pelajar sekolah menerusi kokurikulum.
"Buat masa ini, saya tidak nampak keperluannya (untuk diperkenalkan
sebagai subjek wajib),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan
perbincangan dengan pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
Castlefield di Puchong, di sini hari ini.
Beliau mengulas saranan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena)
semalam supaya sastera wajib dipelajari dari peringkat prasekolah
sehinga institusi pengajian tinggi.
Mohd. Puad berkata, pengenalan subjek itu sebagai mata pelajaran
wajib memerlukan kajian terperinci kerana akan melibatkan kos dan
perubahan jadual pembelajaran di sekolah.
"Bagaimanapun Gapena boleh menghantar kertas cadangan mereka kepada Kementerian Pelajaran,” katanya. - BERNAMA
Sumber : Utusan Malaysia
0 Komen:
Catat Ulasan