Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Sajak : Orang Tua


Orang Tua

Nampakkah kau 
wanita tua di tepi jalan
mukanya comot rambutnya kusut
membawa bersamanya beg usang
berjalan ke sana ke mari
tanpa suatu destinasi.

Nampakkah kau
lelaki tua di hujung jalan
kemejanya kotor seluarnya rabak
duduk di sudut tangga
menunggu sisa makanan restoran mamak
untuk mengalas perut yang kosong.

Nampakkah kau 
darah berlumuran di jalan raya
mayat si tua dibiarkan di situ
dan
di bilik mayat pula 
tiada siapa datang menuntutnya.

Nampakkah ia sepertimu
mereka juga diciptakan oleh-Nya
tetapi bezanya mereka diabaikan
ditinggalkan
oleh anak-anak jahil tidak berbudi
nampakkah kau?

Puspa Rani a/p Munusamy

Tema 
Kesengsaraan yang dialami oleh warga tua akibat diabaikan.

Nada
Sinis

Persoalan
- Penderitaan hidup warga tua.
- Sikap anak-anak yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengenang budi.
- Masyarakat yang mementingkan diri.

Bentuk
- Berbentuk bebas.
- Terdiri daripada empat rangkap.
- Rangkap pertama hingga rangkap keempat mempunyai enam baris.
- Ada satu hingga enam patah kata sebaris.
- Ada satu hingga tiga belas suku kata sebaris.

Nilai
- Kasih sayang
- Mengenang budi
- Prihatin

Pengajaran 
- Kita hendaklah memberikan kasih sayang terhadap golongan warga emas terutamanya ibu bapa.
- Kita hendaklah membalas budi kedua-dua ibu bapa kita.
- Kita janganlah mementingkan diri.
- Kita janganlah lupa akan jasa ibu bapa kita.


Latihan :

Isikan tempat kosong dengan perkataan-perkataan yang sesuai bagi menggambarkan maksud sajak yang ingin disampaikan.

Sajak ini menggambarkan penyajak yang mempersoalkan keprihatinan kita terhadap nasib seorang _______________ yang merempat di tepi jalan dalam keadaan yang tidak _______________. Wanita itu berjalan tanpa haluan sambil membawa begnya yang buruk. Penyajak juga mempersoalkan _______________kita terhadap seorang lelaki tua yang begitu daif hidupnya. Lelaki tua itu tiada _______________. Dia hanya duduk di sudut tangga menunggu _______________ dari restoran mamak. Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap nasib orang tua yang dibiarkan akibat _______________ jalan raya. Lebih memilukan apabila tiada _______________yang menuntut mayatnya di bilik mayat. Penyajak menjelaskan bahawa sebenarnya kita serupa kerana kita semua ialah _______________ciptaan Tuhan. Yang berbeza antara kita dengan orang tua itu ialah orang tua itu tidak _______________ oleh anak-anaknya. Hal ini disebabkan oleh rendahnya moral dan _______________ anak-anaknya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 Komen:

Catat Ulasan