SEKOLAH Sukan Bukit Jalil kembali ke tangga teratas Liga Super Piala Menteri Pendidikan (B-14) setelah tampil dengan aksi mengagumkan bagi mencatat kemenangan selesa ke atas SMK Seksyen 11, 4-0 dalam aksi di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara(MSN), Bukit Jalil.
Walaupun perlawanan berlangsung lewat hampir dua jam, keadaan tersebut tidak menjejaskan rentak permainan dan momentum pasukan tuan rumah yang dilihat menguasai perlawanan tersebut.
Pengendali pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Wan Rohaimi Wan Ismail memuji corak permainan serta kerjasama sepasukan yang ditunjukkan barisan pemain mudanya yang disifatkannya menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Saya cukup berpuas hati, bukan kerana keputusan perlawanan tetapi cara mereka bermain, cara mereka berjuang. Mereka bantu kawan yang lain bila menyerang dan bila bertahan, itu yang penting. Dalam masa sama, kita akan perbaiki mana-mana kesilapan yang wujud.
“Sudah tentu dalam permainan ada buat kesilapan, tapi mereka sentiasa mencuba dan tidak takut untuk buat kesilapan, hasilnya kita dapat empat gol dan saya kagum dengan kesungguhan mereka,”katanya.
Dalam pertemuan tersebut, Sekolah Sukan Bukit Jalil yang dibarisi pemain dari Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Fahmi Daniel Mohd Zaim, dan Izzul Adham Suhaimi.
Tiga minit bersambung babak kedua, Amran Abdul Jamil menanduk masuk gol ketiga buat pasukannya sebelum rembatan dari luar kotak penalti oleh Amir Ariffin Zulkifli pada minit akhir melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 buat anak buah Wan Rohaimi.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan keempat buat Sekolah Sukan Bukit Jalil, dan mereka kini mengungguli liga dengan mengumpul 13 mata, berkelebihan satu mata mengatasi SMK Bukit Nenas yang melonjak ke tangga kedua setelah menundukkan pendahulu sebelum ini, SMK Tunku Mahkota Ismail.
Sementara itu, SMK Seri Temerloh juga terus memberi tekanan kepada pendahulu liga apabila berjaya menundukkan SMK Tabuan Jaya 1-0, menerusi jaringan tunggal Saiful Jamaludin seminit selepas separuh masa kedua bersambung.
SMK Seri Temerloh berkongsi 12 mata dengan SMK Bukit Nenas, namun berada di tangga ketiga menerusi beza jaringan.
Sumber : Sinar Harian, 3 Mei 2016
0 Komen:
Catat Ulasan