PAPAN tanda iklan yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR 5 Mei – Senario papan tanda iklan yang tidak mempamerkan
bahasa Melayu yang betul dan menggunakan bahasa ‘rojak’ mencacatkan
pemandangan di sekitar ibu negara sekali gus merosakkan keindahan bahasa
kebangsaan.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh
Yusop berkata, pengiklan perlu peka dan menjunjung bahasa Melayu dengan
mempamerkan papan tanda mengikut peraturan yang ditetapkan oleh
kerajaan.
“DBKL sentiasa memantau keadaan papan iklan yang mencampuradukkan
bahasa kebangsaan dengan bahasa asing. Walaupun penggunaan bahasa asing
dibenarkan, tetapi ia perlu lebih kecil berbanding perkataan dalam
bahasa Melayu.
“Kebanyakan yang tidak mematuhi peraturan ini ialah papan tanda
perniagaan premis yang dibuat secara haram kerana setiap iklan yang
dipamerkan perlu mendapat kelulusan DBKL dan bahasa yang digunakan juga
perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),”
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa pemilik
premis di sekitar ibu kota yang mencampuradukkan bahasa atau menggunakan
bahasa Inggeris sepenuhnya pada papan tanda perniagaan dan papan iklan
mereka.
Katanya, DBKL turut mempertingkatkan usaha membanteras iklan dan
papan tanda yang tidak mematuhi peraturan dengan mengenakan tindakan
undang-undang serta menurunkan papan tanda tersebut.
“Ia adalah sebahagian usaha untuk menjulang usaha memperkasakan
bahasa kebangsaan. Iklan untuk paparan rakyat negara ini, sewajarnya
menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya,” ujarnya.
0 Komen:
Catat Ulasan