AKSARA RENCONG - TULISAN MELAYU ASLI
Siapa kata orang Melayu tiada tulisan
ciptaan bangsa mereka sendiri? Sebelum tulisan Rumi digunakan dalam persuratan
bahasa Melayu, orang-orang Melayu pernah menggunakan sekurang-kurangnya empat
jenis tulisan iaitu Rencong, Kawi, Palava dan Jawi. Antara keempat-empat
tulisan tersebut, hanya tulisan Rencong sahaja yang dikenal pasti sebagai
tulisan Melayu yang asli. Tetapi sayang, tulisan Rencong, Kawi dan Palava telah
lama pupus manakala Jawi pula dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
SEJARAH AKSARA RENCONG
Aksara Rencong telah digunakan dalam persuratan Bahasa Melayu
Purba (zaman sebelum kedatangan pedagang India ke Kepulauan Melayu).
‘Aksara Rencong’ ialah huruf-huruf
Melayu asli yang digunakan oleh orang-orang Melayu pada zaman purba dalam
sistem penulisan Bahasa Melayu Purba. 'Rencong' adalah perkataan Melayu yang
bererti 'serong' dan ia dikenali sedemikian kerana huruf-hurufnya yang serong.
Aksara Rencong didapati telah wujud lebih awal daripada aksara Jawa Kuno
(tulisan Kawi). Aksara ini juga merupakan tulisan Melayu tertua yang digunakan
dalam sistem persuratan bahasa Melayu sejak abad keenam masihi iaitu ketika
zaman kerajaan Melayu Srivijaya di Sumatera. Walau bagaimanapun, tulisan
Rencong dipercayai telah pun digunakan sebelum abad ketiga masihi lagi.
Penggunaan tiub buluh dalam aksara Rencong
Aksara
ini dicipta oleh orang-orang Melayu dengan meniru bentuk-bentuk cabang,
ranting, potongan kayu dan bentuk aliran sungai. Tulisan Melayu Purba ini telah
dijumpai pada tahun 1892 pada sebatang tiang batu iaitu Batu Bersurat Kota
Kapur di Kota Kapur, Bangka Barat, Sumatera, Indonesia. Selain Rencong, aksara
Kawi dan Palava (kedua-duanya dari India) juga pernah digunakan dalam
persuratan Bahasa Melayu Kuno. Namun begitu, aksara Rencong merupakan satu-satunya
tulisan yang dicipta oleh orang Melayu tanpa pengaruh dari luar Nusantara atau
Alam Melayu. Dengan menggunakan huruf-huruf Rencong, Kawi dan Palava,
orang-orang Melayu Purba dan Melayu Kuno menulisnya di atas kulit-kulit kayu,
kulit binatang, daun-daun lontar, kepingan-kepingan logam dan juga pada
batu-bata (termasuk batu bersurat).
Tiub buluh yang
ditanggalkan untuk penulisan Rencong.
Setelah penyebaran Islam di Kepulauan
Melayu, orang-orang Melayu Klasik cuba untuk terus menggunakan aksara Rencong
(serta Kawi dan Palava) untuk menulis tentang Islam. Mereka mendapati
ketiga-tiganya tidak sesuai kerana tidak mampu untuk merakam bunyi
perkataan-perkataan baru dari al-Quran dan hadis secara tepat. Daripada
mencipta atau menambah huruf baru pada aksara Rencong, Kawi atau Palava,
orang-orang Melayu Klasik telah mengambil keputusan untuk mengabaikan terus
ketiga-tiga tulisan tersebut. Sebaliknya, orang-orang Melayu Klasik cuba
mengeksperimennya ke atas huruf-huruf Arab dengan mengejanya dalam bahasa
Melayu. Hasilnya, lahirlah tulisan Jawi yang berasaskan huruf-huruf Arab dengan
beberapa huruf tambahan dan diguna pakai dalam sistem persuratan Bahasa Melayu
Klasik. Walau bagaimanapun, aksara Rencong terus digunakan di Minangkabau dan
Sumatera Selatan (Bangkahulu dan hulu Palembang), kekal hingga kurun ke-18
iaitu sebelum Belanda menjajah Indonesia.
Tulisan
Kawi dan Palava mula digunakan dalam persuratan Bahasa Melayu Kuno selepas
diperkenalkan oleh pedagang dari India.
Tulisan Jawi mengambil alih peranan sebagai sistem penulisan Bahasa Melayu Klasik selepas kedatangan Islam di Kepulauan Melayu. (Huruf-huruf di dalam bulatan adalah keunikan bahasa Melayu dan tidak dijumpai di dalam tulisan Arab).
Tulisan Jawi mengambil alih peranan sebagai sistem penulisan Bahasa Melayu Klasik selepas kedatangan Islam di Kepulauan Melayu. (Huruf-huruf di dalam bulatan adalah keunikan bahasa Melayu dan tidak dijumpai di dalam tulisan Arab).
0 Komen:
Catat Ulasan