PENUBUHAN Panel Penasihat Penyiaran telah dilancarkan pada 17 Ogos
1997 oleh Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat. Panel yang
berperanan sebagai penasihat kepada Menteri Penerangan itu
bertanggungjawab menetapkan standard yang perlu dipatuhi oleh stesen
penyiaran tempatan ke arah mewujudkan masyarakat bermaklumat di samping
mengekalkan nilai murni.
Pelantikan tokoh politik veteran, Datuk Dr. Rais Yatim - yang suatu
ketika dahulu pernah menyandang tugas Menteri Penerangan - sebagai
pengerusi panel yang dianggotai oleh kira-kira 25 ahli itu telah
dipersetujui oleh Perdana Menteri pada 7 Ogos 1997.
Masalah bahasa banyak, kata Dr. Rais, dan cabaran kepada lebih kurang
25 orang anggota Panel Penasihat Penyiaran itu ialah untuk melihat
bagaimana siaran awam dan swasta dapat menjalankan tugas masing-masing
di samping mendapat keuntungan tanpa membelakangkan budaya, tatasusila
dan kehidupan masyarakat di Malaysia.
''Kita ingin melihat penggunaan bahasa Melayu yang seragam, berhemah
dan bermartabat. Bukan bahasa rojak,'' tegasnya. Di samping itu, panel
tersebut juga mencadangkan kepada Menteri Penerangan supaya siaran
swasta ada unsur-unsur membina, jangan hanya mementingkan keuntungan
tanpa mengambil kira kepentingan bahasa.
''Dalam bidang tugas Panel Penasihat Penyiaran, kita juga berhadapan
dengan permasalahan bahasa yang disalahgunakan, yang kita dapati jika
tidak diawasi dan diperbetulkan, mungkin membawa kepada satu budaya yang
sangat merendahkan martabat bahasa kita,'' katanya.
Tiga aspek permasalahan itu ialah bahasa siaran yang mencampuradukkan
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, penenggelaman bahasa Melayu dalam
sistem pendidikan swasta dan ketidakseragaman bahasa penyiaran.
Gejala mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris merupakan gejala paling baru dalam penyiaran, katanya.
''Dalam setiap ayat seorang eksekutif sekarang, kita dapati mesti ada
mengandungi - kalau tidak separuh, suku - kata-kata Inggeris yang
dicampurkan dengan bahasa kita. Ini sudah begitu automatis sehinggakan
ia merupakan budaya baru bangsa Melayu bercakap separuh Melayu, separuh
Inggeris.
''Sungguhpun perkara itu pada pandangan asasnya tidak ada apa-apa
(salah), tetapi anak akan mengikut, murid akan mengikut, akhirnya bahasa
Melayu sudah tidak ada - yang ada ialah bahasa rojak, bahasa
campuran,'' jelasnya.
Keadaan ini kata beliau, akan menggagalkan usaha mewujudkan bahasa
baku dan menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Beliau juga menyatakan bahasa Melayu tenggelam dalam arus pendidikan
swasta kerana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak menjadikan
ia sebagai bahasa pengantar.
''Daripada 400 buah IPTS sekarang misalnya, kita dapati hanya lebih
kurang lima peratus pelajarnya adalah pelajar Melayu. Mungkin sebab
inilah mereka (IPTS) menyatakan tidak payah belajar Bahasa Melayu dan
bahasa Melayu tidak perlu menjadi bahasa pengantar.''
Sedangkan, kata beliau, kedudukan bahasa Melayu di institusi
pengajian tinggi, waima IPTS, sebagai bahasa pengajaran atau
penggunaannya sebagai bahasa pengantar, adalah jelas.
Panel itu juga mahu supaya satu bahasa seragam digunakan oleh para
penyiar. Pada masa sekarang, penyiaran awam yang dipegang oleh RTM
menggunakan bahasa Melayu biasa iaitu bahasa Melayu Riau; sebaliknya
penyiaran swasta seperti TV3 ''bercakap seolah-olah kita berada di
Indonesia.''
Mahu tidak mahu, katanya, ini sudah menjadi kenyataan. Dengan itu
kita mendapati ada dua jenis saluran bahasa Melayu digunakan dalam media
elektronik.
''Ini tidak seharusnya berlaku sebab dalam membina bangsa dan
negara, bahasa kita hanya perlu satu dari segi guna, tatabahasa dan nahu
yang kita pakai. Tidak boleh satu, tidak boleh ada tiga,'' tegasnya.
''Oleh itu, kita (panel) menyarankan sekali gus kerajaan mesti
mewujudkan keseragaman bahasa - sama ada Melayu Riau atau baku - tidak
penting, tetapi hendaklah satu.''
Namun dalam penggunaan bahasa baku, pihak berkuasa katanya, harus
menentukan supaya penggunaan bahasa baku itu ''janganlah nampak sangat
kita meniru Indonesia kerana kita mempunyai identiti kita sendiri''.
''Penyeragaman bahasa siaran ini adalah untuk mengelakkan orang ramai
keliru yang mana satu lidah rasmi. Itu sebenarnya yang kita hendak
pertahankan.''
Bagaimanapun, ujar Dr. Rais, penyeragaman ini tidak melibatkan
penggunaan loghat. ''Loghat tidak apa, tetapi apabila sampai kepada
penggunaan bahasa rasmi, yakni menggunakan hebahan berita, rencana,
ulasan waima celoteh deejay sekalipun - kalau saluran itu saluran
kebangsaan - kalau saluran Melayu, mesti gunakan bahasa Melayu yang
betul, jangan guna 'bahasa Melayu act'.''
Istilah 'bahasa Melayu act' digunakan oleh anak-anak muda untuk
percakapan yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris, tanpa
mengira nahu bahasa tersebut. ''Istilah ini saya fikir tidak betul,''
kata Dr. Rais, ''tetapi telah pun digunakan, jadi saya pinjam.''
Begitu juga penggunaan 'I' dan 'you' dalam bahasa
harian yang sudah begitu lumrah. Perkara ini sukar diungkit, kata
beliau, memandangkan ''menteri pun sudah bercakap demikian, inikan pulak
orang di bawah...''
Tegas beliau, tugas panel tersebut bukan mudah; tambahan pula mereka mempunyai ramai pengkritik.
''Ada orang yang berkata bahasa adalah perantaraan komunikasi, jadi
kalau ia berubah-ubah, tak apalah. Sebut sedap... tetapi kalau awak
Melayu, hendaklah cakap Melayu.
''Orang Tionghua terus bercakap Mandarin, tanpa mencampuradukkannya
dengan bahasa lain. Begitu juga bahasa Tamil, bahkan perkataan asing
'ditamilkan' sebelum digunakan dalam bahasa mereka. Kita orang Melayu
terlampau mudah menerima perkataan asing, digunakan seolah-olah
perkataan kita.
''Menggunakan perkataan asing pada pandangan panel tidak begitu
berat, memang kita guna kerana bahasa kita berkembang, tetapi perkataan
itu mesti 'dimelayukan'. Setelah dimelayukan baru kita guna mengikut
tatabahasa Melayu.''
Menurut Dr. Rais, dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu
itu, pihak panel telah memutuskan supaya setiap pemimpin bercakap bahasa
Melayu dengan betul dan tugas membuat alur aturnya telah diserahkan
kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
''Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ini sudah jelas
dimaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tetapi kalaulah
bahasa rasmi tersebut 'sekerat ular, sekerat belut' itu amat
mendukacitakan,'' katanya.
Sebab musabab berlakunya perkara ini barang kali banyak, kata beliau.
Antaranya, mungkin disebabkan selama ini penumpuan penggunaan bahasa
pada iklan, perniagaan atau drama tidak menjadi satu kepentingan berat
kepada pihak berkuasa, maka tidak ada seorang pun yang menegur perkara
itu selama ini.
''Setelah kita berjalan begitu jauh baru kita tengok, iaitu bangsa
Melayu tidak lagi bercakap bahasanya dengan betul. Kita mesti
perbetulkan keadaan ini,'' tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan
baru-baru ini yang menyatakan kabinet sudah mengeluarkan arahan supaya
menteri-menterinya menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan dasar
kerajaan. Ini merupakan lanjutan kepada apa yang disyorkan oleh panel
berkenaan.
''Arahan ini baik. Kecenderungan sekarang, menteri atau pemimpin
bukan Melayu tidak mahu bercakap Melayu, terus bercakap bahasa Inggeris
dalam ruang berita. Kita harus haramkan ini.
''Kalau dia nak menyampaikan sesuatu berita, dan dia bercakap sebagai
menteri kerajaan Malaysia, dia mesti bercakap Melayu. Betul tak betul,
itu soal kemudian. Bercakap dahulu,'' tegas beliau. Berbeza dalam dunia pengiklanan, katanya. Panel menerima hakikat
bahawa kumpulan itu mempunyai 'lesen' menggunakan bahasa iklan. Malah
penggunaan yang tidak ada dalam kamus juga dibenarkan.
''Ini kerana disedari kalau hendak menggunakan bahasa yang betul,
iklan itu mungkin tidak dibaca orang kerana terlalu panjang. Perkara ini
tidak menjadi kontroversi. ''Kontroversi yang sangat-sangat kita tekankan supaya diatasi ialah
penggunaan bahasa rojak, yang boleh menjadi sangat mudarat,'' tambahnya.
Sehubungan itu, pihak panel telah menyuarakan agar pihak sekolah
menyemarakkan program di mana anak-anak diajar bertutur lancar dan baik
menggunakan bahasa Melayu menerusi syarahan atau proklameran sajak atau
drama dan memasukkan aspek-aspek penilaian bahasa yang baik.
''Selain itu, didapati sekolah-sekolah sekarang ini yang mempunyai
pengajaran bahasa Melayu, tidak lagi mengajarkan penggunaan bahasa yang
indah, pepatah petitih sudah luntur,'' katanya.
Ini tegas Dr. Rais, menunjukkan kita sudah lupa akan tunjang kita.
''Perkara-perkara itu harus diimbau kembali bagi dijadikan panduan untuk
kita memartabatkan kembali bahasa Melayu.''
Menurut beliau, kelekaan orang Melayu mengejar perkara lain juga
menyebabkan perkembangan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi
berjalan terlalu perlahan.
''Puncanya dari hemah kita menilai diri sebagai orang Melayu. Kita dah lupa akan sifat diri peribadi kita sebagai orang Melayu.
''Oleh sebab itu, Melayu kini ialah 'Melayu hamburger'. Kita tidak balik-balik ke pangkal.
''Orang Jepun, walau macam mana maju pun, terus hormat dan
membahasakan dirinya sebagai orang Jepun. Kalau orang Jepun, yang
mempunyai skriptur yang sebegitu teruk, boleh melakukannya, mengapa kita
tidak boleh,'' soal beliau.
Namun Dr. Rais menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu
ini sebenarnya mesti muncul daripada pemikiran pihak berkuasa (yakni
kabinet).
Sekadar contoh, beliau memberitahu, walaupun dasar sudah dibuat pada
1990 supaya penghakiman dibuat dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa
Melayu di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan
masih agak perlahan, malah boleh dikatakan hampir 75 peratus dijalankan
dalam bahasa Inggeris.
''Kebanyakan peguam dan hakim di mahkamah-mahkamah itu tidak bercakap bahasa Melayu, kecuali pada pembukaan sahaja. Ini realiti.
''Barangkali, para hakim generasi baru lebih sesuai dan tepat untuk
menggunakan bahasa Melayu kerana hakim sekarang, sebilangannya mewakili
generasi lama, masih telor bercakap Melayu,'' tegasnya.
Dalam masyarakat berbilang bangsa, keupayaan masyarakat hidup harmoni
dalam sebuah negara merupakan satu aset penting kepada pembangunan
negara berkenaan. Malaysia seringkali dijadikan oleh masyarakat dunia
sebagai negara yang mampu hidup dengan aman dan harmoni sekalipun
mempunyai pelbagai bangsa.
Kita juga sering bercakap tentang mewujudkan satu 'bangsa Malaysia'.
Namun bagaimanakah bentuk bahasa Malaysia nanti - apakah bahasa Melayu
rojak yang digunakan sekarang ini adalah 'bahasa bangsa Malaysia' kurun
ke-21? Ingatlah, bahasa itu bangsa.
Oleh: NOOR HAZANI MUSA
0 Komen:
Catat Ulasan