Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Naik taraf Sekolah Sukan Bkt. Jalil


SAYA ingin berkongsi kegembiraan dan keyakinan saya terhadap usaha kerajaan untuk melahirkan atlet negara yang bertaraf dunia melalui penubuhan sekolah sukan negara lebih 10 tahun yang lalu.
Namun sebagai seorang warganegara dan penyokong setia pasukan Malaysia, saya fikir kita harus berkongsi kedukaan dan kekurangan daripada banyak aspek mengenai sekolah sukan negara ini terutamanya Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Pertama, papan nama sekolah yang terlalu kecil dan terlindung dari pandangan orang ramai dan tidak menarik minat orang ramai untuk mengetahui sekolah jenis apakah yang ada di kompleks sukan negara ini.

Kedua, saya juga amat terkedu apabila melihat kemudahan yang disediakan di dewan olimpiad, jika dilihat ada beberapa tanda atau huruf yang telah tertanggal dan tidak diperbetulkan. Perkataan yang digunakan amat bersemangat, namun jika sudah hilang hurufnya, apakah nilai perkataan tersebut.

Ketiga, sistem pembesar suara yang saya fikir layak digunakan di peringkat sekolah rendah sahaja. Mutu audio terlalu teruk dan tidak difahami suara yang kedengaran.

Keempat, pihak kantin yang menyediakan kemudahan makanan dan minuman tidak mesra atlet dan pengurusan pihak sekolah. Isu makanan yang tidak dapat dinikmati atlet yang lewat balik berlatih ataupun menyertai pertandingan memburukkan lagi keadaan kualiti atlet yang hendak disediakan oleh pihak kerajaan.
Pelajar yang akan menyarung jersi Malaysia pada suatu hari nanti terpaksa menahan kelaparan dan yang lebih 'zalim' lagi terpaksa membeli makanan di kafeteria dengan menggunakan duit sendiri.

Bukankah kerajaan telah menyuntik subsidi duit makan kepada pelajar ini? Mengapa hak mereka dinafikan? Kenapa pihak penyedia makanan tidak prihatin akan perkara ini? Sukar sangatkah untuk membantu bersama-sama menyumbang kepada kebangkitan sukan di Malaysia.

Jangan berkira tentang tenaga dan masa yang perlu ditanggung oleh pihak penyedia makanan. Fikirkan bahawa anak-anak ini perlukan penjagaan makanan yang teratur untuk menyediakan diri mereka menjadi atlet yang terbaik.

Kesimpulannya, saya menyeru kepada semua pihak yang bertanggungjawab kepada pengurusan dan kecemerlangan sekolah ini agar mengambil tindakan yang drastik demi menjaga nilai keupayaan sekolah ini untuk melahirkan bakal atlet negara yang bertaraf antarabangsa.

Suka saya memohon agar Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin datang melawat ke sekolah ini, jenguk-jenguklah bakal atlet kita, beri suntikan motivasi dan harapan kita. Pelajar-pelajar kita amat menyanjung tinggi usaha kerajaan.

Kepada puan pengetua (Marina Chin yang juga bekas pelari pecut dan olahragawati kebangsaan), terima kasih atas bantuan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk menyediakan persiapan persekolahan mereka.

Terima kasih, mudah-mudahan puan pengetua akan terus mengurus sekolah ini dengan jayanya.
Kepada semua guru dan jurulatih, tahniah dan diucapkan ribuan terima kasih kerana sanggup bertugas dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Lihatlah sekarang sudah ramai atlet yang berjaya dan mengharumkan nama Malaysia serta nama sekolah.

Jasa tuan dan puan tidak terbalas oleh rakyat Malaysia, hanya doa agar tuan dan puan dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik untuk terus bekerja demi negara Malaysia yang tercinta.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 Komen:

Catat Ulasan