SEPANG - Pemenang pingat gangsa Olimpik,
Pandelela Rinong kelihatan begitu penat tetapi terharu dengan sambutan
paling meriah buat kali pertama dalam kariernya oleh kira-kira 300
peminat yang menunggunya sejak pukul 7 pagi lagi di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam semata-mata mahu mengucapkan
tahniah kepadanya.
Pandelela, 19, yang merasai perasaan selaku 'bintang popular' apabila orang ramai tidak henti-henti mahu bergambar bersamanya. Ketibaan Pandelela disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Gan Ping Sieu.
Namun tiada apa yang lebih menggembirakan apabila Pandelela
dikejutkan dengan kemunculan bapa dan ibunya, Pamg Joheng dan Hartini
Lamim yang diterbangkan khas oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS)
untuk menyambut anak kesayangan mereka.
Pandelela dan skuad akuatik tiba di tanah air bersama ketua kontinjen
Tun Ahmad Sarji dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk
Zolkples Embong.
Atlet lain yang kembali ke tanah air termasuk Yeoh Ken Nee, Bryan
Nickson Lomas, Leong Mun Yee, Huang Qiang, Cheong Jun Hoong, Traisy
Vivien Tukiet, Wendy Ng Yan Yee dan perenang tunggal, Khoo Cai Lin.
Pandelela mahu topik terjun lenyap dari fikirannya untuk dua minggu
berikutnya, tempoh dia dibenarkan ketua jurulatih Yang Zhuliang untuk
bercuti. "Jurulatih beri saya cuti dua minggu," katanya penuh teruja.
Ditanya perancangannya sepanjang bercuti, katanya: "Saya ada pelbagai
rancangan termasuk dengan kawan-kawan tetapi terlebih dahulu semestinya
bersama sekeluarga. Tempatnya adalah rahsia," katanya.
Biarpun sudah mengukir nama dalam sejarah negara apabila meraih
gangsa pada Sukan Olimpik London yang menutup tirai kelmarin, namun ratu
terjun negara itu tetap tidak mahu mendabik dada sebaliknya selesa
dengan sikap merendah diri.
Pandelela turut berharap perwatakan asalnya tidak berubah pada masa
akan datang sebaliknya kekal positif dan cemerlang dalam kariernya. "Saya ucapkan terima kasih buat semua yang terlibat dan menyokong
termasuk keluarga saya yang tidak putus-putus memberikan semangat kepada
saya.
"Pengalaman paling bermakna diperolehi pada penyertaan Olimpik London
adalah dapat memberikan saingan kepada jaguh-jaguh terjun dunia.
"Perwatakan saya tidak akan berubah sungguhpun telah meraih kejayaan
sebegini kerana saya lebih selesa dengan sikap merendah diri dan saya
harap perwatakan tersebut akan terus kekal," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online
0 Komen:
Catat Ulasan