MASALAH DAN CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN BAHASA MALAYSIA
Guru-guru
Bahasa Melayu sering berhadapan dengan situasi pelajar berbangsa Melayu yang beranggapan
bahawa bahasa Melayu tidak perlu dipelajari lagi kerana mereka menuturkan
bahasa Melayu setiap hari. Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan bahasa
kerana menganggap perkara itu betul dan tidak salah. Tambahan pula, mereka
menjadikan media massa sebagai rujukan. Walaupun media massa pada hari ini
menunjukkan kesungguhan untuk membetulkan kesalahan bahasa tetapi masih
terdapat kesalahan masih lagi dianggap betul. Oleh itu, kita haruslah
membetulkan kesalahan yang biasa dilakukan dan membiasakan perkara yang betul.
Bahasa yang terdapat pada papan iklan atau papan tanda jalan juga banyak
yang salah. Kita sering melihat kata-kata seperti Selekoh Merbahaya, Raju
Klinik, Minah Restoran, Pusat Membeli-belah dan beberapa
kesalahan lain. Oleh itu, pihak yang berkuasa dalam menguatkuasakan bahasa ini
iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan
kepada mereka untuk memantau kesalahan bahasa dan mengambil tindakan yang
sewajarnya. Sekiranya masalah ini tidak dilakukan sudah tentu banyak pihak yang
menganggap kesalahan tersebut bukan satu kesalahan.
Selain itu, pengaruh bahasa sistem pesanan ringkas (sms) juga
menyebabkan masalah ini semakin membarah. Para pelajar sepatutnya tidak
terpengaruh dengan bahasa sms semasa
menulis karangan. Mereka seharusnya membezakan bahasa sms dengan bahasa
penulisan karangan. Bahasa sms memang sesuai digunakan semasa hendak menghantar
pesanan ringkas tetapi tidak sesuai digunakan dalam karangan atau dalam majlis
formal. Antara bahasa sms yang popular
digunakan sekarang seperti sape, takyah, takde, xde, ko, keje, ak, gi,
camne, katne dan watpe.
Pengaruh bahasa Inggeris pula memang tidak dapat dielakkan tetapi
hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh
menggunakan ‘merojakkan’ bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Perkara inilah yang
dikatakan merosakkan bahasa atau sekerat ular, sekerat belut dan bercampur
aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak
menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan.
Bagi pelajar-pelajar pula, mereka kurang berminat untuk mempelajari
peraturan atau rumus tatabahasa. Oleh itu, mereka tidak mengetahui alasan atau
sebab kesalahan yang telah dilakukan. Sebagai contohnya, mereka menggunakan
perkataan yang tidak baku dalam jawapan seperti analisa, minima, optima,
tengahari, pasaraya, alatulis, aturcara, barisan
guru-guru dan perkataan-perkataan yang lain. Sepatutnya, mereka
perlu mengetahui alasan atau sebab sesuatu kesalahan bahasa itu untuk
memantapkan penguasaan bahasa mereka.
Kesalahan lain yang kerap kali dilakukan adalah dari segi sebutan baku
iaitu sepatutnya sebutan mengikut ejaan. Aspek sebutan ini kebiasaannya kurang
dititikberatkan oleh pengguna bahasa terutamanya pelajar. Perkataan yang selalu
disebut dengan pelbagai sebutan seperti nasionalisme, peka, psikologi
dan automatik. Oleh itu, bagi para pengguna bahasa, perlu menyebut
sesuatu perkataan itu mengikut ejaannya agar sistem bahasa kita ini dapat
ditingkatkan. Walaupun, bunyinya agak janggal tetapi kita perlu membiasakannya
agar menjadi satu kebiasaan.
Izharnya, semua pihak perlulah
berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memelihara bahasa kebangsaan ini
agar terus dinamik dalam meniti ranjau zaman yang kian mencabar ini. Jika
anak-anak muda masa ini tidak menggunakan bahasa yang kita cintai ini dengan
betul, tidak mustahil Bahasa Melayu ini akan luput ditelan zaman seperti bahasa
Sanskrit dan bahasa Latin. Sesungguhnya generasi muda kini amat berperanan
dalam menjadikan Bahasa Melayu gah di persada antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa
Bangsa’.
4 Komen:
menarik...minta share
Okay..
Okay..
Sgt berinformasi..sedikit membantu dalam kajian sy..Tq..
Catat Ulasan