Klik DI SINI untuk melihat senarai penuh Sasterawan Negara Malaysia.
SEBAGAI bangsa yang bertamadun, kita seharusnya membaca dan memanfaatkan pemikiran Sasterawan Negara yang kita angkat. Sudah 12 tokoh yang dinobatkan sebagai sasterawan yang mempunyai pemikiran sejajar dengan perkembangan tamadun bangsanya. Kebanyakannya menyentuh dengan mendalam berkaitan isu budaya, bahasa dan sastera dalam masyarakat.
Sasterawan
adalah pemikir bangsa yang mencetuskan pemikirannya melalui karya-karyanya,
tidak kira dalam bentuk novel, cerpen, drama, puisi dan esei. Malangnya
kebanyakan daripada kita tidak serius menghayati dan mendalami hasil-hasil
karya mereka.
Generasi
muda kita lebih mendalami filem dan lagu-lagu yang dinyanyikan berbanding
mendalami dan menghayati pemikiran Sasterawan Negara.Hasil
karya Sasterawan Negara kita sarat dengan pemikiran. Ini wajar dibukukan agar
dapat dikongsi oleh seluruh rakyat negara ini. Semua bahan ini sangat berguna
sebagai buah fikiran yang boleh ditinggalkan kepada generasi akan datang.
Hal-hal
yang berkaitan seperti politik, ekonomi, sastera, budaya, pendidikan dan sosial
juga merupakan perkara yang selalu dibangkitkan oleh Sasterawan Negara kita.
Semuanya mempunyai gaya cara dan pandangan tersendiri berkaitan perkara ini
yang menjurus kepada kemajuan dan pembangunan bangsa. Mereka sewajarnya menjadi
pendorong utama yang menggerakkan kepada kemajuan bangsa.
Ilmu
sangat penting kepada manusia. Semua manusia memerlukan ilmu untuk memandu dan
membangunkan kehidupan secara individu, berkeluarga, bermasyarakat dan negara.
Namun demikian masih ramai dalam kalangan kita tidak berusaha meningkatkan ilmu
dan membangunkan dirinya, keluarganya atau negara dan tamadun bangsanya secara
keseluruhan. Ini disebabkan ilmu adalah ketibaan maklumat yang banar dan
bermakna dalam diri insan.
Terdapat
beberapa faktor kenapa hasil karya Sasterawan Negara kita kurang dibaca dan
dimanfaatkan dalam kehidupan. Antaranya, sikap malas membaca dan meneroka apa
yang tersirat dan ketinggian pemikiran tidak dapat dihayati oleh pembaca. Rasa
takut untuk membaca novel, cerpen, drama dan puisi yang dianggap sukar
difahami.
Sebagai
contoh pemikiran Sasterawan Negara ketiga, Usman Awang yang memancarkan
kecintaan kepada kebudayaan serta perpaduan dengan kaum-kaum lain di negara
ini.
Sebagai
contoh beliau pernah berkata: " Keinginan perlu dipandu oleh kearifan.
Tanpa arif bestari, kebijaksanaan tidak ada. Tanpa bijaksana penyelesaian akan
menjadi mentah, atau penyelesaian tanpa kebijaksanaan akan menimbulkan mudarat
yang lebih besar." (Sukma Angin, 1999).
Baginya,
puisi adalah kemanusiaan dan masa depannya. Katanya: " Salam, tanpa
visa/pasport/golf/warna/kemanusiaan rakyat/seluruh benua." Sumber ilhamnya
adalah rakyat terbanyak iaitu para petani, buruh dan nelayan.
Begitu
juga sebagai contoh, Sasterawan Negara keenam, Muhammad Haji Salleh, adalah
pencari dan pemikir yang mahukan generasi muda mengembara ke seluruh dunia
untuk mencari ilmu dan kembali ke negaranya untuk dimanfaatkan kepada bangsa
dan negaranya. Hal ini terdapat dalam tulisan buku Sohaimi Abdul Aziz, Muhammad
Haji Salleh ; Pencari dan Pemikir.Kreatif. Justeru,
hebatnya insan dalam mengharungi kehidupannya adalah kerana memiliki ilmu yang
benar dan bermanfaat. Dengan ilmu manusia mampu melakukan perubahan diri dan
persekitarannya. Dengan kata lain, manusia boleh berkarya, kreatif dan
melakukan pelbagai aktiviti dengan ilmu dan menyumbang kepada pembangunan
masyarakat dan negara.
Sasterawan
Negara ke-10, Anwar Ridhwan lewat dalam karya-karyanya menyentuh isu-isu
budaya, bahasa dan sastera kebangsaan yang menjadi bukti kepada kejayaan bahasa
kebangsaan, integrasi kaum, kebebasan bersuara serta demokrasi sosiobudaya
negara ini. Hal ini juga disuarakan melalui tulisannya dalam kolum di akhbar.
Pandangan beliau dapat dilihat dalam Kata Pengantar Buku Sastera Kebangsaan,
Pendidikan Sastera dan Pembinaan Negara Jilid 111 (2008) tulisan Chew Fong
Peng.
Menurutnya,
dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, kemajmukan itu datang
bersama-sama kepelbagaian kepercayaan agama, budaya, bahasa, sastera serta
pandangan sarwa masyarakat. Malaysia ketika bersemuka dengan hakikat
kemajmukan, tampaknya lebih bersikap demokratis dan agak terbuka kerana
sungguhpun unsur-unsur kebangsaan yang berpaksikan pada kebudayaan Melayu dan
pribumi itu cuba dikekalkan, tetapi dalam masa sama anggota masyarakat dari
kelompok yang lain itu tetap bebas mempraktikkan sesuatu yang amat tinggi dan
sakral - iaitu kepercayaan agama. Hal ini diikuti dengan kebebasan melaksanakan
aktiviti kehidupan berdasarkan budaya, bahasa dan sastera masing-masing.
Bagi,
Sasterawan Negara ke-11, Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), setiap manusia yang
dilahirkan adalah khalifah Allah dan mempunyai tanggungjawab yang harus
dipikul. Melalui bakat, pendidikan dan pengalaman penyair-penulis seharusnya
melaksanakan tanggungjawab kepada bangsa dan masyarakatnya. Ini dijelaskan
melalui tulisannya dalam Kata Pengantar Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (1990)
terbitan Dewan bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurutnya,
rasa tanggungjawab ini bukan hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi untuk
kemanusiaan, alam dan Tuhan. Beliau yakin bahawa sebagai penyair atau penulis
sudah menyedari hakikat kesenimanan yang mempunyai fungsi dari sudut lahiriah
dan rohaniah. Penyair juga adalah pemikir bagi kehidupan manusia lain. Inilah yang
pernah diungkapkan oleh penyair besar seperti Muhammad Iqbal. Beliau menganggap
dirinya adalah penyair-pemikir dan menjadi 'mata' kepada bangsanya.
Manakala
menurut Sasterawan Negara ke-12, Baharuddin Zainal (Baha Zain), sebagai penyair
dan penulis juga mempunyai tanggungjawab kemanusiaan. Lontaran pemikirannya
dalam Monolog Kecil Dewan Sastera Mei 2003, berkaitan dengan Kata Achebe:
Fikiran yang medioker boleh merosakkan negara sama seperti perang;
mengembangkan rasuah dan keruntuhan akhlak. Juga benar bahawa orang yang rosak
akhlaknya, bukan sahaja boleh merosakkan orang lain, tetapi tidak menyedari
tentang fikirannya yang medioker. Menurutnya hari ini negara berada dalam
isu-isu besar sosio-politik sehingga semua isu dijadikan kontroversi atau
sensasi yang menjadi-jadi sehingga ke dunia seni.
Justeru,
sebagai rakyat khususnya generasi muda adalah digalakkan membaca, mendalami dan
memahami pemikiran Sasterawan Negara kita seramai 12 orang itu. Memilih
menyaring dan memanfaatkan dalam kehidupan yang disampaikan dalam pemikiran
lewat tulisan memberi manfaat yang sangat berguna kepada kesinambungan warisan
bangsa. Ambillah yang baik dijadikan pengajaran dan teladan dalam kehidupan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130707/sa_02/Manfaatkan-pemikiran-Sasterawan-Negara#ixzz2Ym1QTSQn
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 Komen:
Catat Ulasan