Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Kem Perdana SSBJ 2013

Kem Perdana SSBJ 2013 diadakan khas untuk para pelajar Tingkatan 3 Sekolah Sukan Bukit Jalil. Seramai 50 daripada 59 orang atlet pelajar tingkatan 3 telah melapangkan masa menghadiri kem selama 3 hari ini. Turut mengiringi atlet-atlet pelajar berkenaan ialah Pn. Suriyani binti Ab. Ghani, En. Samsyul Hisyam bin Abdul Manap, Pn. Mariana binti Md. Yusof, Pn. Nur Fadia binti Mohamed Radzuan, Pn. Nor Elleyna, En. Mohd. Sham Khairul dan En. Soh Ing Ren.

Kem yang mengambil tempat di D'Village, Ayer Keroh, Melaka ini hanya terletak 1 jam setengah perjalanan dari Bandar Raya Kuala Lumpur. Bermula pada tarikh 10 hingga 12 Oktober 2013, aktiviti dimulakan dengan lawatan ke Taman Burung di Ayer Keroh. Berbagai-bagai spesis burung dapat dijumpai di taman berkenaan. Sejurus selepas itu, semua peserta kem dengan guru-guru pengiring mendaftarkan diri di tempat penginapan. 

Sebelah malamnya pula, para pelajar didedahkan tentang hala tuju dan kerjaya yang sesuai dengan sifat-sifat yang ada dalam diri mereka. Aktiviti sebegini sememangnya dapat memberikan lebih pengetahuan dalam menentukan hala tuju para pelajar di tingkatan empat. Hari kedua di kem berkenaan, pelajar dibawa pula ke Taman Seribu Bunga dengan aktiviti 'Explorace' yang memerlukan mereka mencari jenis-jenis bunga di tempat berkenaan.

Selepas bersembahyang Jumaat di masjid berdekatan MITC, pelajar didedahkan pula dengan subjek-subjek yang bakal diambil mereka di tingkatan empat. Kemudian, pelajar-pelajar diberikan kebebasan untuk berbincang tentang persembahan yang bakal dibuat pada sebelah malam yang berkonsepkan K-Pop. Aktiviti yang bersifat santai sebegini betul-betul dapat menghilangkan tekanan dan lelah para pelajar setelah bertungkus-lumus menjawab peperiksaan.

Sebagai penutup madah pada kali ini, kami di Panitia Bahasa Malaysia SSBJ mendoakan kalian memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR yang bakal diumumkan keputusannya pada bulan Disember nanti. Perjalanan kalian masih jauh pada usia yang masih setahun jagung ini. Bersegeralah memenuhkan ilmu di dada dalam menempuh dunia yang kian mencabar dari hari ke hari ini.

Berikut ialah gambar-gambar yang sempat dirakamkan sepanjang kem berkenaan berlangsung :











Sila klik DI SINI untuk melihat lebih banyak gambar semasa di Kem Perdana.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 Komen:

Catat Ulasan