Peranan keluarga dalam mengatasi
masalah kemerosotan akhlak para pelajar.
Dalam era globalisasi ini,
kemerosotan akhlak para pelajar kian menimbulkan kebimbangan banyak pihak. Ada
pendapat yang mengatakan ibu bapa mempengaruhi kelakuan anak-anak. Walau
apa-apa pun pendapat yang menyusul, anak-anak remaja memerlukan perhatian yang
tinggi daripada ibu bapa kerana pendidikan bermula di rumah. Ahli keluarga
memainkan peranan yang penting dalam hal ini.
Ibu bapa perlulah menunjukkan
teladan yang baik dalam mendidik anak-anak. Jangan menjadi seperti ketam
mengajar anaknya berjalan dengan betul. Tingkah laku ibu bapa terutamanya
ketika berhadapan dengan anak-anak akan ditiru oleh mereka. Jadi tidak mustahil
jika ahli keluarga asyik bertengkar di rumah, sikap sebegitu akan terdidik
dalam diri remaja dan menjadikan mereka kaki gaduh di sekolah.
Di samping itu, ahli keluarga
perlulah meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Ibu bapa terutamanya di
bandar, kini sibuk mengejar duniawi dan kebendaan sedangkan ‘harta’ yang tidak
ternilai harganya dibiar hanyut dibawa ombak. Begitulah perbandingan yang boleh
digambarkan terhadap sikap sesetengah ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab
dalam mendidik anak-anak.
Seterusnya, ahli keluarga boleh
merancang percutian yang menyeronokkan sesama ahli keluarga. Lupakan segala
pekerjaan buat beberapa hari semasa percutian. Sebaliknya, berseronoklah dengan
anak-anak kerana permata yang berharga itu memerlukan perhatian yang penuh
daripada pemiliknya iaitu ibu bapa. Secara tidak langsung, hubungan
kekeluargaan dapat terjalin utuh melalui percutian ini.
Selain itu, perbualan mesra antara
ahli keluarga juga perlu dalam memastikan akhlak anak-anak sentiasa terjaga.
Perbualan boleh sahaja berkisar tentang perkara-perkara yang dilakukan oleh
anak-anak sepanjang hari. Justeru, anak-anak akan berasa dihargai oleh
kedua-dua ibu bapa mereka. Oleh itu, rasa cinta akan ahli keluarga akan wujud
dan mereka akan sentiasa memikirkan ibu bapa sebelum melakukan perkara yang
tidak berfaedah.
Tambahan pula, ibu bapa juga boleh
melahirkan kasih sayang mereka dengan memberikan hadiah kepada anak-anak.
Remaja kini hanya memerlukan perhatian daripada ahli keluarga. Jika tidak
mendpaat perhatian yang sepenuhnya, maka mereka akan melakukan perkara-perkara
yang di luar jangkaan. Oleh hal yang demikian, dengan pemberian hadiah pada
hari-hari tertentu pastinya melahirkan kegembiraan mereka.
Izharnya, setiap ahli keluarga perlu
berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam mengatasi masalah kemerosotan
akhlak para remaja. Jika setiap langkah pragmatik telah diambil, tidak mustahil
masalah yang melibatkan golongan remaja akan berakhir. Secara tidak langsung,
negara kita dapat melahirkan modal insan berminda kelas pertama dalam menuju
Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir.
Nukilan : Pelajar 3 Komanwel 2012 (Ujian 1 BM)
2 Komen:
bagus karangan ni...
pelajar harapanlah ni...
Catat Ulasan