Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam

Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam

  • Mengurangkan kesesakan lalu lintas
  • Menjimatkan masa
  • Mengurangkan kos
  • Mengurangkan pencemaran udara
  • Dapat menambah pendapatan negara

Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju ke status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila menggunakan pengangkutan awam.
           
            Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya berkurangan.

            Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa individu yang menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

            Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

            Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

            Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu menarik minat pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan negara akan meningkat seiring dengan penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.

            Izharnya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di negara kita ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang dicita-citakan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah


Kewajaran Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah


Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita selari dengan era moden yang penuh kecanggihan ini.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit di sekolah boleh mendatangkan kemudaratan. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih setahun jagung itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit. 


Oleh hal yang demikian, mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pemelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit? Sudah tentu perkara sebegini ingin dijauhi lebih-lebih lagi banyak masalah lain yang ditimbulkan oleh para pelajar.

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan berhadapan dengan gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. 

Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat yang mungkin boleh merosakkan masa depan mereka.

Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.

Izharnya, melalui perbincangan yang disampaikan di atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi. Namun demikian, semua hal ini tertakluk kepada diri individu itu sendiri bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Penggunaan Telefon Bimbit dalam Kalangan Pelajar


Huraikan pendapat anda tentang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar.

·         Boleh menghubungi ibu bapa
·         Bertanya kepada rakan tentang kerja sekolah
·         Mendapatkan maklumat
·         Menyimpan video porno
·         Melalaikan remaja

Alaxander Graham Bell merupakan insan yang bertanggungjawab mencipta alat telekomunikasi yang dinamakan sebagai telefon. Sejajar dengan dunia yang pesat berkembang ini, telefon kini lebih mobil dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Rekaannya juga semakin menarik perhatian ramai umumnya remaja yang sentiasa mengejar kelainan. Jika diperhalusi, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar ini mendatangkan impak yang pelbagai kepada remaja.


Kita pastinya boleh menggunakan telefon bimbit yang dimiliki untuk menghubungi insan tersayang yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati. Mendengar suara ibu dan bapa pastinya membuatkan jiwa kita tenang lebih-lebih lagi mereka merupakan insan yang paling mengenali diri kita. Oleh hal yang demikian, penggunaan telefon bimbit oleh para pelajar pastinya meningkatkan motivasi mereka untuk terus belajar lebih-lebih lagi untuk para pelajar yang tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga.

Lain daripada itu, kita boleh menggunakan telefon bimbit untuk bertanyakan hal-hal yang berkaitan persekolahan. Sebagai contohnya, rakan-rakan rapat boleh dihubungi dengan segera waima kita tidak berada di sekolahpun jika mereka mempunyai telefon selular ini. Secara tidak langsung, segala perkara penting yang disampaikan oleh guru ketika kita tidak boleh hadir ke sekolah dapat diketahui dengan segera melalui penggunaan telefon bimbit. Hubungan dengan rakan-rakan juga akan menjadi erat dan bertambah mesra.

Selain itu, kita juga boleh membuat capaian Internet melalui telefon bimbit pintar yang terdapat di pasaran kini. Hal ini benar-benar membuatkan dunia berada di hujung jari kita. Dengan menekan butang-butang tertentu di telefon bimbit, segala maklumat yang ingin diketahui boleh didapati dengan mudah dan cepat. Justeru, kita tidak perlu lagi menunggu-nunggu untuk mendapatkan sesuatu maklumat kerana masa itu emas. Sudah terang lagi bersuluh, telefon bimbit memudahkan pelajar mendapatkan maklumat dengan segera.

Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit juga mendatangkan kesan negatif kepada pelajar. Misalannya, mereka lebih mudah merakam atau menyimpan video-video mahupun gambar-gambar lucah dalam alat telekomunikasi itu. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan lebih-lebih lagi apabila cerita mengisahkan klip-klip video ini pernah tersiar di layar perak iaitu filem Klip 3GP. Penyebaran video-video seperti yang dimaksudkan ini bukan mudah untuk dibanteras tetapi tidak mustahil untuk diperangi.

Di samping itu, penggunaan telefon bimbit juga boleh melalaikan remaja. Lihat sahaja situasi masa ini apabila golongan remaja tidak boleh berpisah dengan ‘kembar’ mereka itu walaupun sedetik. Ditambah pula dengan pelbagai aplikasi yang kurang penting dan permainan yang melekakan dalam telefon mudah alih itu pastinya membuang masa para remaja dengan sia-sia. Walhal, masa senggang para remaja perlu diisi dengan ilmu yang bakal menerangi masa depan mereka.

Izharnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja memberikan seribu satu faedah kepada sesiapa sahaja. Kita perlu bijak menggunakan apa-apa sahaja gajet atau alat yang dicipta dalam dunia serba canggih ini dengan cara yang betul. Jika tidak digunakan untuk kebaikan, perkara ini mampu merosakkan masa depan dan fikiran remaja itu sendiri. Sewajarnya, para remaja yang merupakan tonggak negara pada masa hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro dan kontra sesuatu perkara sebelum dilakukan bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Faktor-Faktor Yang Mendorong Peningkatan Masalah Disiplin Pelajar


Faktor-faktor yang mendorong kepada masalah disiplin pelajar.

·         - Ibu bapa tidak mendidik anak-anak.
·         - Ibu bapa sibuk bekerja.
·         - Pengaruh rakan sebaya.
·         - Pengaruh media massa.

Dewasa ini kita sering dihambat dengan masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan remaja. Hal ini pastinya amat membimbangkan banyak pihak kerana remaja merupakan tiang negara pada masa hadapan. Keruntuhan moral ini boleh menjejaskan matlamat negara dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dalam memacu negara ke era negara maju. Jika diperhalusi, pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja.

Faktor utama yang dikenal pasti ialah berpunca daripada ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak dengan didikan yang betul. Jika ibu atau bapa tidak boleh mendidik anak-anak mereka dengan baik, pada siapakah lagi tanggungjawab itu harus dipikul? Sesetengah ibu bapa belakangan ini juga bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan lurus. Jelas, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mencorak keperibadian remaja.

            Di samping itu, faktor yang mendorong kepada permasalahan ini ialah berpunca daripada ibu bapa yang sibuk mencari nafkah sehinggakan anak-anak terabai. Kesempitan hidup ini memang tidak boleh dinafikan dalam mencari sesuap nasi untuk membesarkan anak-anak. Namun demikian, sering kali anak-anak yang masih mentah ini mengambil peluang yang ada untuk berseronok dengan rakan-rakan sehinggakan timbul masalah yang lain. Dalam hal ini ibu bapa perlu bijak dalam membahagikan masa dengan anak-anak.

            Seterusnya, pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama dalam peningkatan masalah disiplin pelajar. Masakan tidak kerana golongan remaja kini banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya berbanding ahli keluarga. Didorong atas sifat ingin tahu, mereka pasti akan mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup mereka yang mungkin boleh menggelapkan masa depan sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, remaja atau pelajar perlu bijak dalam memilih rakan jika tidak mahu terlibat dalam masalah ini.

            Selain itu, pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam meruncingkan lagi permasalahan disiplin ini. Lihat sahaja di layar perak mahupun di kaca-kaca televisyen yang banyak menyiarkan aksi keganasan dan masalah sosial. Contoh yang paling ketara seperti filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gengster yang memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Sedikit sebanyak remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan.

            Izharnya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja. Namun demikian, perkara ini boleh diatasi jika semua pihak memainkan peranan masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing. Secara tidak langsung, hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi pada tahun 2020 bakal terlaksana.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kata Majmuk

Ramai dalam kalangan pelajar mahupun guru lupa akan bentuk kata majmuk yang telah mantap. Merujuk kepada Tatabahasa Dewan, Kata Majmuk terbentuk daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kebiasaannya kata majmuk ini dieja terpisah. Sebagai contoh, beg tangan, ular sawa, balai raya, jalan raya dan rukun tetangga.

Namun demikian, ada beberapa kata majmuk yang telah mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun perkataan tersebut mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang sedemikian tetap dieja sebagai satu perkataan. Perkataan-perkataan yang dimaksudkan ialah :

  1. antarabangsa
  2. bumiputera
  3. jawatankuasa
  4. kakitangan
  5. kerjasama
  6. warganegara
  7. olahraga
  8. pesuruhjaya
  9. setiausaha
  10. sukarela
  11. suruhanjaya
  12. tandatangan
  13. tanggungjawab
  14. matahari         

* p/s : Jika perkataan-perkataan di atas dieja secara terpisah dalam peperiksaan terutamanya dalam penulisan karangan, hal ini boleh membuatkan anda kehilangan markah yang amat berharga. Jadi, elakkan kesalahan mudah ini daripada dibuat :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Latihan Tatabahasa Ayat Pasif & Ayat Aktif

LATIHAN SPM 1
Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.      Tugas itu patut anda selesaikan sekarang juga.

2.      Jawatan yang dipegang oleh mereka sangat penting.

3.      Sedikit garam dimasukkan oleh kakak ke dalam gulai yang sangat saya gemari.

4.      Pokok-pokok itu dipangkas oleh para pekerja supaya sentiasa rendah.

5.      Nota pelajaran dikemaskinikan oleh mahasiswa itu supaya mudah membuat  ulang kaji.

6.      Orang yang lurus bendul itu tidak harus kamu peralat sewenang-wenangnya.


LATIHAN SPM  2
Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.      Pelajar itu ditahan oleh guru disiplin selepas perhimpunan kerana         melanggar peraturan sekolah.

2.      Anak-anak sewajarnya dikawal oleh ibu bapa supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.

3.      Pelajar itu dihadiahi oleh guru bahasa Melayu sebatang pen setelah berjaya  memperoleh ‘A’ dalam peperiksaan percubaan SPM.

4.      Satu misi dilaksanakan oleh mereka bersama-sama.

5.      Alat pendingin hawa itu dijualnya dengan harga yang tinggi.

6.      Komputer itu saya beli untuk adik di kolej.


LATIHAN SPM  3
Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.      Permukaan air itu dilitupi pokok teratai yang berwarna-warni.

2.      Majalah bercorak akademik kurang diminati oleh golongan remaja meskipun bahan di dalamnya memberikan ilmu kepada mereka.

3.      Pondok buruk yang didiami oleh orang tua itu beratapkan rumbia dan berdinding buluh.

4.      Adik perempuan saya dijahitkan baju kurung oleh kakak pada hujung minggu yang lalu.

5.      Rumah itu tidak berani kami hampiri kerana takut akan anjing peliharaan tuan rumah tersebut.

6.      Kerja-kerja memperdalam Sungai Kinta itu akan ditangguhkan oleh mereka berminggu-minggu.


JAWAPAN LATIHAN SPM1

·         Anda patut menyelesaikan tugas itu sekarang juga.
·         Mereka memegang jawatan yang sangat penting.
·         Kakak memasukkan sedikit garam ke dalam gulai yang sangat saya gemari.
·         Para pekerja memangkas pokok-pokok itu supaya sentiasa rendah.
·         Mahasiswa itu mengemaskinikan nota pelajaran supaya mudah membuat ulang kaji.
·         Kamu tidak harus memperalat orang yang lurus bendul itu sewenang-wenangnya. 


JAWAPAN LATIHAN SPM 2

·         Guru disiplin menahan pelajar itu selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
·         Ibu bapa sewajarnya mengawal anak-anak supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.
·         Guru bahasa Melayu menghadiahi pelajar itu sebatang pen setelah berjaya memperoleh ’A’ dalam peperiksaan percubaan SPM.
·         Mereka melaksanakan satu misi bersama-sama.
·         Dia menjual alat pendingin hawa itu dengan harga yang tinggi.
·         Saya membeli komputer itu untuk adik di kolej.


JAWAPAN LATIHAN SPM3

·         Pokok teratai yang berwarna-warni melitupi permukaan air itu.
·         Golongan remaja kurang meminati majalah bercorak akademik meskipun bahan di dalamnya memberikan ilmu kepada mereka..
·         Orang tua itu mendiami pondok buruk yang beratapkan rumbia dan berdinding buluh.
·         Kakak menjahitkan adik perempuan saya baju kurung pada hujung minggu yang lalu.
·         Kami tidak berani menghampiri rumah itu kerana takut akan anjing peliharaan tuan rumah tersebut.
·         Mereka akan menangguhkan kerja-kerja memperdalam Sungai Kinta berminggu-minggu.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Mari Berpantun


Pantun boleh digunakan dalam penulisan karangan. Jika anda memasukkan pantun dalam karangan, kualiti serta nilai karangan akan bertambah baik. Berikut ialah beberapa contoh pantun peribahasa untuk anda gunakan dalam karangan anda.


Ombak badai menggulung-gulung
Kelasi terdampar di tepi pantai
Hajat di hati nak peluk gunung   
Apakan daya tangan tak sampai

Maksud: Bercita-cita besar, namun tak tercapai.

Budak-budak bermain rakit         
Rakit buluh tolong buatkan   
Harap-harapkan guruh di langit   
Air di tempayan dicurahkan

Maksudnya: Bodoh mendengar cakap orang sehingga diri sendiri kerugian

Hujan panas turun berderai           
Guruh menyambar pohon jati
Kasih sayang tak boleh bercerai   
Bagaikan rambut bersimpul mati

Maksud: Perasaan cinta dan kasih sayang yang sangat erat

Burung puyuh burung taktibau       
Terbang tinggi si burung bayan
Di dalam kilat ada kilau                
Rupanya awan mengandung hujan

Maksud: Orang yang berpura-pura baik tetapi sebenarnya ada niat tidak baik

Berburu ke padang datar           
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar               
Bagai bunga kembang tak jadi

Maksud: Sia-sia melakukan sesuatu kerja jika tak cukup kepakaran dan kemahiran

Ayam hutan terbang ke hutan   
Turun ke tanah mencari makan
Kerana digila burung di hutan    
Denak di rumah mati tak makan

Maksud: Sanggup tinggalkan seseorang yang dekat kerana dapat orang baru

Orang gagah pergi berperang       
Terlalu berani lagi perkasa
Gajah mati meninggalkan tulang   
Manusia mati meninggalkan jasa

Maksud: Hidup biar berjasa supaya mati dikenang orang

Ku sangka nanas atas permatang   
Rupanya durian tajam berduri
Ku sangka panas hingga ke petang   
Rupanya hujan di tengahari

Maksud: Kebahagiaan yang hanya sementara/ ujian yang datang tanpa diduga

Kalau mandi pergi ke tebat           
Tunggu malam bulan mengambang
Kalau berjanji tak pernah tepat       
Macam biawak lidah bercabang

Maksud: Orang yang suka berdalih-dalih dan mencipta pelbagai alasan

Dara bersimpu dihujung bendul    
Sambil leka bersembang-sembang
Cakap tidak pernah betul            
Macam lidah tidak bertulang

Maksud: Orang yang kuat menipu dan tak boleh dipercayai

Berbunga lebat pohon rambutan   
Hinggap tempua berjuntai kaki
Bila dapat memandang bulan       
Jangan lupa rumput di bumi

Maksud: Jangan lupa diri dan asal-usul setelah menempa kejayaan

Kayu bakar dibuat arang               
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang   
Cermin muka lihat sendiri  

Maksud: Cuba lihat kekurangan diri kita sendiri

Satu dua tiga empat                   
Lima enam tujuh setengah 
Sepandai-pandai tupai melompat   
Sekali sekala jatuh ke tanah

Maksud: Betapa pintar dan liciknya orang yang berbuat salah, suatu hari akan tertangkap juga akhirnya.

Satu tangan jarinya lima               
Dua tangan jarinya sepuluh
Saya tanam pokok delima                 
Mengapa peria pula yang tumbuh?

Maksud: Berbuat baik pada orang tetapi dibalas dengan kejahatan

Gesek biola tiup serunai               
Sayu dara berhati walang
Putih mata si burung punai           
Kayu ara ditunggu helang

Maksud: Gadis pingitan yang dikawal rapi oleh ayahnya

Tumbuk padi jadikan emping           
Buat juadah teman sebaya   
Pipit hendak bertenggek ke ranting
Sudikah enggang bertenggek sama?

Maksud: Ingin melamar seseorang yang berbeza darjat dan tarafnya

Pendekar handal di tengah gelanggang
Pendekar bergelar Raja Saksama
Bagaikan pipit dengan enggang       
Manakan boleh terbang bersama?

Maksud: Orang yang tak sama taraf dan darjat tak boleh berbaik dan berkawan rapat

Pergi ke rumah Cik Mariam           
Ramai orang tengah berjaga
Carik-carik si bulu ayam               
Lama-lama bercantum juga

Maksud: Adik beradik yang bergaduh, lambat-laun berbaik semula

Anyam sarung ketupat pulut       
Ketupat hendak direbus juga
Tidak sudahnya seluang melaut   
Akhirnya kembali ke pantai juga

Maksud: Orang yang merantau jauh sampai masa pulang ke tempat asalnya

Bukan saya condong ke dulang     
Saya tak mahu condong ke desa
Biar saya berputih tulang            
Saya tak mahu berputih mata

Maksud: Sanggup berjuang mati-matian kerana tak sanggup kecewa
Lemaknya nasi bergulai udang       
Lemak berbau santan kelapa
Rela kumati berputih tulang           
Tidak kumahu berputih mata

Maksud: Sanggup berjuang habis-habisan kerana tak sanggup kecewa

Cabang apakah tidak bergetah       
Kiranya embun turun pagi
Tanah tak lekuk kayu tak patah       
Ular dipalu mestilah mati

Maksud: Buat sesuatu kerja biarlah cermat supaya siap sempurna

Petani pergi ke bendang   
Tangkap keli masuk ke bakul
Sungguh berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul

Maksud: Orang yang menanggung masalah lebih menderita daripada orang yang melihat penderitaannya

Bunga Melur kembang sekaki 
Mari dibungkus dengan kertas
Di dalam telur lagi dinanti            
Inikan pula sudah menetas

Maksud: Sudah terlalu lama menunggu dan bersedia sehingga masanya


Bunga telepuk kembang separak     
Kembang bersusun setiap batang
Awan bertepuk mega bersorak       
Bulan terbit dipagari bintang

Maksud: Lelaki tampan yang dikelilingi wanita-wanita cantik

Medang sila buahnya cantik           
Jatuh menimpa ke pasu bunga
Dengan sebab nila setitik               
Habis rosak susu sebelanga

Maksud: Satu kesalahan telah menyebabkan semua orang terkena tempiasnya

Hulubalang pergi berperang           
Gempita bunyi gendang dipalu
Jangan suka serkap jarang           
Nanti sendiri yang terima malu

Maksud: Main teka-teka atau tuduh-menuduh

Tarik dayung berderap-derap       
Hendak melawan sampan kotak
Dia ibarat si bunga dedap           
Sungguh pun merah berbau tidak

Maksud: Gadis cantik tetapi tidak mempunyai nilai kesopanan

Lalu di depan bongkok menunduk   
Tanda hormat tidaklah takbur
Ibarat telur di hujung tanduk       
Jika tergolek pecahlah bersembur

Maksud: Berada dalam keadaan yang sangat bahaya

Nyiur gading puncak mahligai   
Sayang ketupat berisi inti
Hancur daging tulang berkecai 
Belum dapat belum berhenti

Maksud: Sanggup berjuang habis-habisan sehingga akhir hayatnya

Tampi melukut di hujung tambak
Orang kota memasang rantai
Kalau takut dilambung ombak  
Jangan berumah di tepi pantai

Maksud: Jika takut cabaran, jangan pura-pura berani

Limau purut lebat ke pangkal   
Daun selasih di dalam raga 
Kalau kail panjang sejengkal   
Lautan dalam jangan diduga

Maksud: Jika tak cukup persediaan, jangan berhajat atau berlagak besar

Angin turun bersama ribut       
Melanda segala apa jua
Kasih ibarat embun di rumput   
Datang panas keringlah ia

Maksud: Kasih yang kemungkinan besar akan berubah hati

Kayu keras si kayu kempas       
Alas tempat orang berjudi
Ada beras kerja pun deras       
Ada padi kerja pun menjadi

Maksud: Jika ada kemahiran dan keupayaan, segala kerja mudah dilakukan


LATIHAN: Berikan maksud pantun-pantun di bawah ini.

Pohon rendah akar sebatang    
Hinggap nuri duduk sekawan
Bulan indah dipagar bintang      
Tinggal mentari di balik awan

Kayu perahu sampai seberang
Singgah bermalam di kampung hulu
Bukan tak tahu dunia sekarang 
Gaharu dibakar kemenyan berbau


Dang Nila memangku puan       
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan           
Burung terbang dipipiskan lada?


Encik Embong anak Melaka           
Tanam peria di tepilah pantai
Usah sombong tuan berkata       
Mana buaya menolak bangkai?


Punggur rebah puyuh mendengut,
Dengut melata di tengah padang;
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang


Burung Merak terbang ke laut 
Sampai ke laut mengangkut sarang
Sedangkan bah kapal tak hanyut   
Inikan pula kemarau panjang


Dalam perlak ada kebun           
Dalam kebun ada tanaman
Dalam gelak ada pantun           
Dalam pantun ada mainan

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS