Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Bahasa Rojak : Punca dan Cara Mengatasi

 Bahasa Rojak : Punca dan Cara Mengatasi

Oleh SALLEH HASHIM
 

Menurut Kamus Dewan “ rojak” bermaksud 1 .Sejenis makanan daripada buah-buahan mentah dan sayur-sayuran campur yang berkuah: ~ manis; ~ ulek; 2. Berupa sesuatu yang bercampur aduk: eh, ini majalah ~! Ataupun rojek II; merojak menumbuk (sirih); projek; ~ sirih penumbuk sirih, gobek.

Apabila membicarakan “bahasa rojak”, kita tentulah merujuk bahasa bercampur aduk yang digunakan dalam tulisan dan juga lisan. Dalam majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2012 pada 11 Oktober 2012, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia berkata, penggunaan bahasa rojak akan beransur-ansur menghakis kekuatan sesuatu bahasa. Kenyataan pemimpin nombor dua negara itu tidak harus dipandang remeh. Penggunaan bahasa rojak sudah semakin sebati dan menjadi barah bahkan bagai api di dalam sekam yang membakar senyap sehingga merosakkan kekuatan bahasa Melayu.

Meninjau dari perspektif sejarah, kita tidak dapat mengelak daripada penggunaan bahasa rojak seawal penjajahan ekonomi ketika kedaulatan Melaka sebagai sebuah empayar entrepot suatu ketika dahulu. Sebagai negeri pelabuhan, Melaka menarik ramai pedagang yang keseluruhannya bertutur lebih 80 bahasa daripada pelbagai bangsa dan budaya. Hal ini merupakan sebahagian daripada bahasa penghubung yang dikenali sebagai “bahasa rojak”. Semasa pemerintahan Parameswara, dua kumpulan pedagang akan mencuba untuk bertutur dalam apa-apa jua bahasa bagi mendapat keputusan yang terbaik dalam memahami antara satu sama lain, dan hasilnya ialah bahasa pijin atau bahasa rojak. Menjelang tahun 1511, Melaka mempunyai jumlah penduduk sebanyak 50 ribu orang termasuk komuniti pedagang yang bertutur dalam 84 bahasa.

Penjajahan Portugis, British, Jepun terus menyuburkan bahasa rojak di negara kita. Portugis mengekalkan bahasa dan budayanya di negeri Melaka sehingga ke hari ini, British datang dengan pengaruh bahasa Inggerisnya dan Jepun pula terkenal memaksa sekolah Jepun dan tulisan kanji kepada penduduk Tanah Melayu ketika itu. Dengan hal yang demikian, bahasa rojak tidak dapat dielakkan.

Isu bahasa rojak berlanjutan apabila pihak media turut menyumbang kepada percambahannya. Penggunaan Sure Heboh dalam media pernah menjadi polemik yang berpanjangan sehinggalah pihak kabinet masuk campur bagi meredakan keadaan. Zaman milenium turut menyaksikan banyak media terutama komik yang meremehkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Bacaan tambahan :

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 Komen:

SALLEH DERMAWAN berkata...

Isu yang perlu ditangani dengan penuh berhemah oleh semua pihak yang berkenaan...

Catat Ulasan