Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya




Contoh penulisan rencana berikut boleh dijadikan panduan kepada para pelajar dalam menghuraikan idea dan memberikan contoh.

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya

Oleh : Nik Tik Hajar Aisyah bt Ismail

“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama-sama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.

Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.

Bak kata pepatah Melayu, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjadi-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan pelesit-pelesit rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya 'aerospace' dan 'superman' bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.

Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah. Jika segala permasalahan ini dapat dirungkaikan, tidak mustahil hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh menjadi kenyataan.

Baca juga LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KEMALANGAN JALAN RAYA.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Karangan Jenis Pengalaman


PENILAIAN MENENGAH RANDAH (PMR)
Karangan Bahagian C
[40 markah]

Anda telah memenangi wang sebanyak RM 1 juta dalam satu peraduan yang telah diadakan oleh salah sebuah syarikat multinasional.

Gambarkan cara anda membelanjakan wang tersebut.

Pagi Isnin yang lalu saya telah dikejutkan oleh satu panggilan telefon yang memberitahu bahawa saya telah memenangi wang tunai sebanyak RM 1 juta. Berita kemenangan itu benar-benar menggembirakan hati saya. Doa saya dan ahli keluarga agar saya memperoleh kemenangan dalam peraduan yang disertai itu akhirnya menjadi kenyataan. Berbagai-bagai  cara terlintas di fikiran saya untuk membelanjakan hadiah kemenangan itu.

Sebahagian kecil daripada wang kemenangan itu akan saya gunakan untuk mengadakan kenduri kesyukuran. Seluruh penduduk kampung akan saya panggil untuk meraikan kemenangan itu. Kanak-kanak yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan miskin pula akan saya berikan sedikit wang untuk berkongsi kegembiraan. Mudah-mudahan rezeki yang saya peroleh ini akan lebih diberkati.

Selain itu, saya juga akan melaburkan wang kemenangan yang banyak itu dalam Amanah Saham Bumiputera, membeli sijil premium dan menyimpannya dalam Tabung Haji. Langkah ini penting dalam menjamin simpanan di hari tua nanti. Tambahan pula, dengan menyimpan atau melaburkan wang dalam bank-bank yang dijamin oleh kerajaan, wang kita akan selamat dan akan memperoleh faedahnya.

Di samping itu, bagi memudahkan pergerakan saya ke sekolah, saya akan membeli sebuah motosikal. Jika sebelum ini saya terpaksa menggunakan bas awam untuk ke sekolah, kini saya boleh pergi ke sekolah dengan lebih awal tanpa membuang masa menunggu bas awam yang ada ketikanya lewat tiba. Secara tidak langsung, tidaklah saya membazirkan masa untuk menunggu bas yang lewat itu kerana masa itu emas.

Seterusnya, saya juga akan menyedekahkan sedikit wang kemenangan itu ke rumah anak-anak yatim sebagai tanda kesyukuran. Hal ini demikian kerana saya percaya wang yang dibelanjakan untuk kegunaan anak-anak yatim memberikan lebih keberkatan. Oleh itu, mereka juga akan berasa seronok dan saya dapat berkongsi kegembiraan dengan anak-anak yang telah kehilangan tempat bermanja dan bergantung harap itu.

Akhir sekali, sudah pasti saya akan menghantar kedua-dua ibu bapa saya yang tercinta untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan haji. Sesungguhnya, wang ringgit yang diberikan itu tidak dapat dinilai dengan pengorbanan mereka membesarkan saya sehingga ke hari ini. Namun, hanya itu yang mampu diberi tatkala saya memperoleh hadiah kemenangan yang agak besar nilainya.

Izharnya, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya hati saya pada ketika ini. Namun, saya perlu berjanji kepada diri supaya menggunakan duit kemenangan itu dengan sebaik yang mungkin. Hal ini demikian kerana jika saya tidak menggunakan duit kemenangan itu dengan sebaik-baiknya tidak mustahil wang tersebut akan habis sia-sia ibarat kata pujangga tunas yang muda akan mati jika selalu dipetik.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Karangan Jenis Fakta

Cara-cara Mengatasi Kesesakan Lalu Lintas

Warga kota khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur sering mengeluh terutamanya ketika waktu pergi dan pulang dari kerja. Masa mereka banyak terbazir begitu sahaja di atas jalan raya. Hal ini demikian kerana, sebahagian besar warga kota terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas yang menjadi rutin harian mereka. Jika diperhalusi, ada banyak cara untuk mengatasi masalah yang membelenggu warga kota ini.

Langkah yang paling efektif untuk diaplikasikan ialah menggunakan kenderaan awam untuk menuju ke satu-satu destinasi. Kenderaan awam seperti Monorel, Komuter dan Transit Aliran Ringan (LRT) menghubungkan antara satu bandar dengan bandar yang lain. Sistem pengangkutan berkenaan juga tidak menggunakan jalan raya sebagai laluan. Oleh itu, kita tidak akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Seterusnya, kita janganlah malu untuk menumpang jiran bersebelahan rumah untuk ke tempat kerja atau menumpangkan anak ke sekolah. Perkongsian kenderaan seperti ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya. Ibarat sambil menyelam minum air, selain masalah kesesakan lalu lintas yang dapat dikurangkan, semangat kerjasama dan perpaduan juga dapat diserap dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, sebagai individu yang bertangungjawab kita perlulah patuh akan undang-undang jalan raya. Umum mengetahui bahawa kemalangan juga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Oleh hal yang demikian, jika kita memandu secara berhati-hati dan mengikut undang-undang tidak mustahil kemalangan dapat dielakkan. Sikap bertimbang rasa semasa memandu amat dituntut dalam mengatasi masalah ini.

Cara lain pula ialah pihak kerajaan perlu membina jalan raya bertingkat terutamanya di kawasan-kawasan yang menghadapi kesesakan lalu lintas yang teruk. Walaupun pembinaan laluan bertingkat ini menelan kos yang tinggi, namun memberikan seribu satu faedah kepada masyarakat. Tidaklah masa kita terbuang sia-sia untuk mengharungi jalan raya yang sesak setiap hari kerana masa itu emas.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga perlu menyelenggara jalan-jalan raya agar berada di tahap yang terbaik. Jalan raya yang tidak diselenggara pastinya akan membahayakan pemandu dan penunggang motosikal yang menggunakan laluan tersebut. Secara tidak langsung, kenderaan terpaksa dipandu perlahan dan boleh menyebabkan kesesakan terutamanya apabila tiba waktu puncak.

Izharnya, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing ini. Jika masalah ini dapat diatasi tidak mustahil negara kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Secara tidak langsung, negara Malaysia dapat mencapai status  negara maju menjelang tahun 2020.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

MBMMBI Tidak Mengganggu Pelajar

KUALA LUMPUR : Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pendirian MCA, MIC dan GERAKAN yang menganggap pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan mengganggu pendidikan pelajar di sekolah menengah sebagai tidak logik. 
 
Malah, beliau hairan dengan pendirian mereka hanya mempertahankan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di sekolah rendah, terutama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), tetapi di sekolah menengah mereka mahu menggunakan bahasa Inggeris. 
 
“Dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sepatutnya jangan ada pihak yang bersikap ‘double standard.’ Pendirian parti itu menggambarkan seolah-olah mereka tidak mahu bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu, apatah lagi sebagai bahasa perpaduan.

“Pendirian mereka akan menjadikan bahasa Melayu semakin lemah dan terhakis. Mereka tidak sepatutnya sangsi dengan dasar Kementerian Pelajaran untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melalui MBMMBI yang jauh lebih baik daripada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris sebelumnya.

“Semua ini berpunca kerana mereka tidak mahu memahami langkah kementerian mengenai pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Mereka harus sedar beratus ribu istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sudah diwujudkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Mereka patut malu kalau anak mereka tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Mohd Puad berkata, kedudukan bahasa Melayu harus dipertahankan dan jangan ada pihak yang cuba melemahkannya dalam keadaan semangat perpaduan kini semakin dipersoalkan.

“Isu PPSMI jangan dijadikan sebagai ugutan politik atau kesempatan tersirat untuk terus menanam perasaan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu dan perpaduan.

“Jangan hanya pandai cakap saja, buat kajian menyeluruh mengenai buruk dan baiknya kepada masa depan negara. Bahasa Melayu sebagai lingua franca rakyat negara ini patut terus dimartabatkan, bukan mundur ke belakang,” katanya. 
 
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/11/04
 
Sumber : Berita Harian 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tidak perlu jadikan sastera sebagai subjek wajib - Puad Zarkashi

Tidak perlu jadikan sastera sebagai subjek wajib - Puad Zarkashi

02/04/2012 1:59pm

KUALA LUMPUR 2 April 2012 – Pembelajaran sastera sebagai subjek elektif di sekolah menengah sekarang sudah mencukupi dan tidak perlu diperluaskan sebagai mata pelajaran wajib dalam sistem persekolahan kebangsaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, selain sebagai subjek elektif di Tingkatan Empat dan Lima, sastera juga didedahkan kepada pelajar sekolah menerusi kokurikulum.

"Buat masa ini, saya tidak nampak keperluannya (untuk diperkenalkan sebagai subjek wajib),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Castlefield di Puchong, di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) semalam supaya sastera wajib dipelajari dari peringkat prasekolah sehinga institusi pengajian tinggi.

Mohd. Puad berkata, pengenalan subjek itu sebagai mata pelajaran wajib memerlukan kajian terperinci kerana akan melibatkan kos dan perubahan jadual pembelajaran di sekolah.

"Bagaimanapun Gapena boleh menghantar kertas cadangan mereka kepada Kementerian Pelajaran,” katanya. - BERNAMA

Sumber : Utusan Malaysia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sastera Dicadang Jadi Matapelajaran Wajib



MELAKA 1 April – Persidangan Hari Sastera Nasional ke-15 mengesyorkan bidang kesusasteraan nasional dijadikan mata pelajaran wajib untuk pelajar bermula prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Perkara itu merupakan antara 14 resolusi yang dicapai Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama 22 ahli gabungannya yang bersidang selama tiga hari bermula Jumaat.

Ketua Satu Gapena, Prof Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, bidang kesusasteraan nasional penting dalam memantapkan jati diri rakyat dan mewujudkan peradaban bangsa Malaysia yang bersatu dan kukuh.

"Kalau kita tidak wajibkan kesusasteraan, kita bimbang generasi muda hari ini tidak tahu pantun, sajak dan budaya sebaliknya hanya mementingkan nilai materialistik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Hari Sastera Nasional ke-15 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka yang juga Pengerusi Bersama Hari Sastera Nasional, Datuk Wira Othman Muhamad.

Beliau berkata, pada masa ini kesusasteraan hanya diajar di peringkat sekolah menengah namun ia tidak diwajibkan kepada semua pelajar. - BERNAMA

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS