Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Container Icon

Tahniah Sekolah Sukan Bukit Jalil

Tiada kata yang dapat diluahkan selain ucapan tahniah kepada guru-guru dan atlet pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil atas pencapaian yang membanggakan ini. Walau sibuk dan lelah dengan latihan sukan yang berat, namun aspek pendidikan tidak pernah diabaikan.  

Sesungguhnya yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Berkat kesungguhan dan ketekunan warga SSBJ 'Nothing is Impossible'. TAHNIAH!!!


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Blog Panitia BM di 'Facebook'

Selari dengan perkembangan teknologi dunia dalam komunikasi, Panitia Bahasa Malaysia SSBJ turut mengambil pendekatan yang sama. Bermula 22 Mac 2012, para pelawat laman sesawang boleh mengikuti blog ini melalui laman sosial yang popular pada masa ini iaitu 'FACEBOOK'. Jadi, jangan lupa menekan butang 'LIKE' pada laman berkenaan.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hendak Seribu Daya

Bekas banduan jadi pelajar cemerlang SPM

21/03/2012 7:18pm

SHAH ALAM - "Kehidupan dalam penjara menginsafkan saya dan di dalam penjara menyedarkan saya bahawa hanya ilmu yang mampu mengubah jalan hidup saya dan saya percaya hanya ilmu yang mampu membersihkan nama saya.
     "Saya tekad duduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2010 dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun lepas, syukur ia rezeki saya apabila berjaya," kata bekas banduan Muhammad Zainal Ariff Mat Zain, 23.
      Beliau yang dibebaskan dari Penjara Kajang Oktober lalu setelah dipenjarakan sejak 2008 kerana terbabit dalam kegiatan jenayah, yang tidak bersekolah sejak Tingkatan Satu kerana desakan hidup, memperoleh keputusan 6A, 1B dan 1E.
     Muhammad Zainal merupakan antara sembilan pelajar cemerlang SPM di Selangor menerima keputusan peperiksaannya daripada Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus di sini hari ini.
Beliau yang menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Integriti Kajang berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya guru-guru serta pihak penjara yang banyak memberikan sokongan kepadanya.
      Beliau yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan dan pengurusan berkata, pihak penjara memaklumkan kepadanya yang mereka akan bantunya untuk mendapatkan tempat bagi melanjutkan pelajarannya.
      Muhammad Zainal Ariff, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan turut menyampaikan pesan kepada mereka yang senasib dengan dirinya supaya berani berubah kerana hanya diri sendiri yang mampu berbuat demikian. - BERNAMA

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kesalahan Kata Pemeri

Pelajar sering melakukan kesalahan semasa menggunakan kata pemeri dalam ayat. Apabila ditanya, pelbagai alasan yang diberi tentang penggunaan kata pemeri yang digunakan dalam ayat.

Lihat contoh penggunaan kata pemeri dalam ayat di bawah:
  1. Mata pelajaran Bahasa Melayu adalah merupakan mata pelajaran yang penting.
  2. Jawapan ini adalah berdasarkan buku teks.
  3. Tindakan saya ini adalah berlandaskan ajaran Islam.
  4. Semua perkara ini adalah merujuk kepada peraturan terbaru.
  5. Perlakuan orang asing adalah diragui.
ULASAN:

Ayat (1) salah kerana penggunaan frasa adalah merupakan.

Kebanyakan pelajar memberikan alasan bahawa frasa adalah merupakan tidak boleh digunakan kerana adalah dan merupakan sama dari segi makna atau fungsi.

Ayat (2) hingga (5) juga SALAH kerana penggunaan penggunaan kata pemerinya tidak tepat. Adakah ‘adalah’ sama dengan ‘berdasarkan’, ‘adalah’ sama dengan ‘berlandaskan’, ‘adalah’ sama dengan ‘merujuk’ atau adakah ‘adalah’ sama dengan ‘diragui’?
Semua alasan atau sebab yang diutarakan seperti di atas adalah SALAH.
SEBENARNYA, kesalahan ayat-ayat di atas bukanlah kerana alasan seperti di atas tetapi kerana kata pemeri ‘adalah’ TIDAK BOLEH DIGUNAKAN DI DEPAN KATA KERJA.

[merupakan, berdasarkan, berlandaskan, merujuk, dan diragui ialah kata kerja]
  • Kata pemeri (ialah dan adalah) tidak boleh digunakan di depan kata kerja.
Ayat-ayat yang betul sepatutnya seperti berikut :
  • Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang penting.
  • Jawapan ini berdasarkan buku teks.
  • Tindakan saya ini berlandaskan ajaran Islam.
  • Semua perkara ini merujuk kepada peraturan baru.
  • Perlakuan orang asing itu diragui.

Sila klik DI SINI untuk maklumat lanjut atau bertanyakan GURU BAHASA MALAYSIA bagi memberikan penjelasan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Senarai Sasterawan Negara

Sejak diperkenalkan pada tahun 1981, kita sudah memiliki 11 orang Sasterawan Negara. Berikut disenaraikan nama-nama penerima Anugerah Sasterawan Negara :

1 - 1981 : Dr. Kamaludin Muhammad (Keris Mas)
2 - 1982 : Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad
3 - 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
4 - 1985 : Datuk Dr. Abdul Samad Mohamad Said
5 - 1987 : Dr. Muhammad Dahlan Abdul Biang(Arena Wati)
6 - 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
7 - 1993 : Datuk Noordin Hassan
8 - 1996 : Datuk Abdullah Hussain
9 - 2003 : Prof. Madya Dr. Syed Othman Syed Omar
10-2009 : Dato' Dr. Anwar Ridhwan
11-2012 : Datuk Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)
12-2013 : Dato' Baharuddin Zainal (Baha Zain)

Kebiasaannya, Sasterawan-sasterawan Negara yang tersohor ini menggunakan nama pena dalam penulisan mereka. Misalannya, Keris MasJawahir, Tutang, Tongkat Warrant, Adi Jaya, A. Samad Said, Manja, Arena Wati, S. Othman Kelantan dan Kemala.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Dapatkan Keputusan Peperiksaan Anda

Kini, dalam melangkah era teknologi moden serta dunia tanpa sempadan, para pelajar mahupun ibu bapa boleh melayari laman sesawang khas untuk mengetahui keputusan peperiksaan semasa pelajar melalui Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). Klik sahaja gambar di bawah ini : 
 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Peranan Keluarga Dalam Mengatasi Masalah Kemerosotan Akhlak Remaja


Peranan keluarga dalam mengatasi masalah kemerosotan akhlak para pelajar.


            Dalam era globalisasi ini, kemerosotan akhlak para pelajar kian menimbulkan kebimbangan banyak pihak. Ada pendapat yang mengatakan ibu bapa mempengaruhi kelakuan anak-anak. Walau apa-apa pun pendapat yang menyusul, anak-anak remaja memerlukan perhatian yang tinggi daripada ibu bapa kerana pendidikan bermula di rumah. Ahli keluarga memainkan peranan yang penting dalam hal ini.
           
            Ibu bapa perlulah menunjukkan teladan yang baik dalam mendidik anak-anak. Jangan menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Tingkah laku ibu bapa terutamanya ketika berhadapan dengan anak-anak akan ditiru oleh mereka. Jadi tidak mustahil jika ahli keluarga asyik bertengkar di rumah, sikap sebegitu akan terdidik dalam diri remaja dan menjadikan mereka kaki gaduh di sekolah.

            Di samping itu, ahli keluarga perlulah meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Ibu bapa terutamanya di bandar, kini sibuk mengejar duniawi dan kebendaan sedangkan ‘harta’ yang tidak ternilai harganya dibiar hanyut dibawa ombak. Begitulah perbandingan yang boleh digambarkan terhadap sikap sesetengah ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak.

            Seterusnya, ahli keluarga boleh merancang percutian yang menyeronokkan sesama ahli keluarga. Lupakan segala pekerjaan buat beberapa hari semasa percutian. Sebaliknya, berseronoklah dengan anak-anak kerana permata yang berharga itu memerlukan perhatian yang penuh daripada pemiliknya iaitu ibu bapa. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan dapat terjalin utuh melalui percutian ini.

            Selain itu, perbualan mesra antara ahli keluarga juga perlu dalam memastikan akhlak anak-anak sentiasa terjaga. Perbualan boleh sahaja berkisar tentang perkara-perkara yang dilakukan oleh anak-anak sepanjang hari. Justeru, anak-anak akan berasa dihargai oleh kedua-dua ibu bapa mereka. Oleh itu, rasa cinta akan ahli keluarga akan wujud dan mereka akan sentiasa memikirkan ibu bapa sebelum melakukan perkara yang tidak berfaedah.

            Tambahan pula, ibu bapa juga boleh melahirkan kasih sayang mereka dengan memberikan hadiah kepada anak-anak. Remaja kini hanya memerlukan perhatian daripada ahli keluarga. Jika tidak mendpaat perhatian yang sepenuhnya, maka mereka akan melakukan perkara-perkara yang di luar jangkaan. Oleh hal yang demikian, dengan pemberian hadiah pada hari-hari tertentu pastinya melahirkan kegembiraan mereka.

            Izharnya, setiap ahli keluarga perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam mengatasi masalah kemerosotan akhlak para remaja. Jika setiap langkah pragmatik telah diambil, tidak mustahil masalah yang melibatkan golongan remaja akan berakhir. Secara tidak langsung, negara kita dapat melahirkan modal insan berminda kelas pertama dalam menuju Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir.

Nukilan : Pelajar 3 Komanwel 2012 (Ujian 1 BM)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

SYAIR SEJARAH MELAKA

Salah satu bentuk hiburan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu ialah syair. Namun, ramai dalam kalangan pelajar kini tidak tahu melagukan syair. Jika disuruh menyanyikan lagu Dato' Siti Nurhaliza atau lagu Adele cepat sahaja dinyanyikan dan kadang kala tanpa disuruh. Berikut diletakkan satu video yang menunjukkan persembahan syair yang mungkin boleh dijadikan panduan sebagai cara untuk melagukan syair. Selamat menonton.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

SELOKA PAK KADUK

Ramai pelajar mahupun guru kurang pasti tentang nyanyian seloka walhal lagunya tidak ada format-format tertentu. Oleh itu, di blog ini diletakkan nyanyian Seloka Pak Kaduk khusus untuk pengikut Blog Panitia BM SSBJ mendengar salah satu cabang hiburan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Lidah Lebih Tajam Daripada Sebilah Pedang

Selepas satu penyelewengan, timbul pula masalah yang baharu. Berpunca daripada kejahilan dan meringan-ringankan hal agama, pelbagai masalah dalam masyarakat kian menjadi-jadi. Perkara yang tidak pernah terfikir oleh orang ramai tiba-tiba muncul pada hari ini.


 "Halimah Jongang". Lucu bunyinya tetapi sedarkah kita bahawa Halimah itu nama ibu susuan Nabi kita. Halimatus Saa'diah yang pernah menjaga Nabi Muhammad sewaktu kecil. Begitu besar pengorbanan dan jasanya, namun pada hari ini, namanya dijadikan sebagai alat hiburan oleh golongan jahil. Cerita berbentuk umum ini ditayangkan di Astro Prima dan terus mendapat sambutan sehingga ke hari ini....

Tidak cukup dengan penghinaan tersebut, timbul pula cerita "Fatimah Juling". Nama puteri Rasulullah pula yang menjadi mangsa. Kenapa tidak menggunakan nama lain yang tidak berkaitan dengan keturunan Rasulullah S.A.W. Sayyidatina Fatimah merupakan ibu kepada dua cucu Baginda, Sayyidina Hussain dan Sayyidina Hassan. Satu-satunya anak Nabi Muhammad S.A.W. yang sempat melahirkan zuriat dan daripadanya berkembang keturunan nabi.

Kadang-kadang perkara yang biasa kita sebut, kita tidak sedar asal-usulnya kalam tersebut. "Mat Rempit" daripada nama Muhammad manakala "Minah Rempit" daripada nama Aminah (ibu Nabi kita). Entah bagaimana gelaran ini dapat bertapak di kalangan masyarakat Melayu hari ini?

Sesugguhnya lidah itu perkara yang paling tajam di dunia...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

AKTIVITI PANITIA SEPANJANG MAC 2012

Perpustakaan Negeri Selangor yang bertaraf dunia.
1) Lawatan Sambil Belajar ke Perpustakaan Negeri Selangor
Tarikh : 3 Mac 2012
Sasaran : Semua pelajar Tingkatan 1
2) Hari Bahasa Tahun 2012
Tarikh : 27 Mac 2012 (Selasa)
Aktiviti :
Tingkatan 1 - Menghasilkan penanda buku berperibahasa
Tingkatan 2 - Drama Komsas
Tingkatan 3 - Menghasilkan layang-layang
Tingkatan 4 - Menghasilkan buku skrap (isu-isu semasa)
Tingkatan 5 - Pertandingan memasak masakan tradisional dan menghasilkan poster iklan
masakan
AYUH, BERSANTAI SAMBIL BELAJAR!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sains dan Matematik Tidak Semestinya Diajarkan dalam Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR, 12 Feb 2009 (Bernama) -- Subjek Matematik dan Sains boleh diajar dalam mana-mana bahasa dan tidak semestinya hanya dalam bahasa Inggeris, kata Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini.

Beliau berkata kedua-dua subjek itu boleh dipelajari dalam mana-mana bahasa kerana tujuan utama ialah untuk mempelajari subjek tersebut dan bukan bahasa Inggeris.

"Anda boleh buat (belajar Sains dan Matematik) dalam bahasa Melayu agak baik, anda boleh buat dalam bahasa Cina juga sangat baik, anda boleh buat dengan baik dalam bahasa Jerman, tidak ada istimewanya mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa tertentu," katanya kepada pemberita selepas memberikan Syarahan mengenai 'Mencari Kejayaan' pada Siri Syarahan Anugerah Merdeka di sini.

Katanya ramai yang memperoleh pengetahuan malah dalam bahasa Melayu dan Matematik sebagai satu bahasa simbolik yang boleh dipelajari dalam mana-mana bahasa.

"Pada 1974, kita mengambil masuk pelajar Melayu di Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya.

Kini graduan Pusat Asasi Sains merupakan pakar dalam bidang masing-masing dan mereka mendapat gaji lebih RM40,000 sebulan dan mereka mempelajarinya semua dalam bahasa Melayu. Sehubungan itu, bahasa bukanlah isunya," katanya.

Kini graduan Pusat Asasi Sains merupakan pakar dalam bidang masing-masing dan mereka mendapat gaji lebih RM40,000 sebulan. Semasa belajar di Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya, mereka mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Ungku Aziz berkata juga bahasa Melayu boleh menjadi alat untuk memastikan pencapaian perpaduan nasional.

"Anda hanya boleh mempunyai perpaduan nasional jika setiap orang boleh memahami seseorang dalam satu bahasa. Jika orang ramai boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil tetapi mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu dan ini kita tidak boleh ada perpaduan nasional," kata beliau.

Beliau juga berkata sistem pelajaran negara tidak mempromosikan pemikiran kreatif dan selagi sistem mengamalkan pilihan pelbagai dalam peperiksaan, orang ramai tidak akan kreatif.

"Sekurang-kurangnya anda mesti mempunyai satu subjek mengenai pemikiran sama ada pemikiran kreatif atau pemikiran sisian pada peringkat sekolah sehingga pengajian tinggi," kata beliau.

Syarahan ini adalah siri ketiga daripada enam siri Syarahan Anugerah Merdeka untuk 2008/2009 yang dianjurkan bersama Petronas, ExxonMobil dan Shell.

-- BERNAMA

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kaedah Belajar Secara Berkesan

Kita sudah membaca buku dari pagi hingga ke malam. Namun, keputusan peperiksaan tidak juga memberangsangkan. Atas faktor itu, para pelajar mengambil keputusan untuk mengehadkan waktu mengulang kaji pelajaran. Namun demikian, sedarkah anda keputusan yang diambil itu akan mengubah masa hadapan anda dalam sekelip mata? Oleh itu, bangkitlah dari tidur yang lena dan mulalah mengikut kaedah-kaedah belajar yang lebih berkesan agar kita memperoleh kejayaan seperti yang diharapkan. Berikut merupakan cara-cara yang efektif dalam mengulang kaji pelajaran :

  1. Menyediakan jadual belajar yang sistematik.
  2. Rutin belajar yang sama pada tiap-tiap hari bagi melatih otak menerima tabiat belajar.
  3. Pilihlah masa  yang sesuai untuk mengulang kaji pelajaran terutamanya sewaktu semangat belajar berada di tahap maksimum.
  4. Elakkan perkara-perkara yang mengganggu proses pembelajaran. Ahli keluarga harus bertolak ansur dalam memberi ruang untuk anda belajar.
  5. Nota yang telah dibuat hendaklah diulang kaji pada hari yang sama.
  6. Anda akan mendapat lebih manfaat sekiranya anda mempunyai matlamat belajar.
  7. Elakkan belajar di tempat yang boleh menyebabkan rasa mengantuk.
  8. Belajarlah dengan tujuan menimba ilmu bukanlah sekadar untuk lulus peperiksaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Penjodoh Bilangan

BIDANG
Digunakan untuk benda-benda yang luas.
Contoh : tanah, tikar, layar, bendang, ladang.
Contoh ayat :
  1. Ketua kampung itu memiliki banyak bidang tanah.
  2. Berapakah harga sewaan sebidang dusun?" tanya Encik Ali.

BIJI
Digunakan untuk benda yang kecil-kecil.
Contoh : buah-buahan, cawan, gelas, periuk.
Contoh ayat :
  1. Alyah membeli sebiji periuk di pasar malam.
  2. Beberapa biji gelas telah pecah akibat terjatuh dari rak itu.

BILAH
Digunakan untuk benda-benda yang tajam atau bersifat sebagai senjata.
Contoh : pisau, keris, parang, golok, kapak.
Contoh ayat :
  1. "Tolong asahkan beberapa bilah pisau," minta Alif kepada Qayyum.
  2. Perompak itu menggunakan sebilah parang sebagai senjata rompakan.

BUAH
Digunakan untuk benda yang tidak tentu bentuk, saiz atau jenisnya.
Contoh : rumah, kenderaan, bandar, negeri, bas, bukit, pulau.
Contoh ayat :
  1. Beberapa buah rumah telah terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Dusun.
  2. Ali menghabiskan masa senggangnya dengan melawat ke dua buah pulau yang terkenal di Terengganu.

BUKU
Digunakan untuk benda-benda yang berbongkah atau berbuku.
Contoh : roti, sabun, benang.
Contoh ayat :
  1. Sebuku roti diperlukan untuk membuat kuih tradisional itu.
  2. Mak Jemah mengeluh kerana kekurangan beberapa buku benang untuk menyiapkan jahitannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kesalahan Tatabahasa Yang Biasa Dilakukan Pelajar

       Hukum D-M
Salah
Betul
- Cili sos
- Mini perpustakaan
- Zaleha Restoran
- Jaya Klinik
- Sos cili
- Perpustakaan mini
- Restoran Zaleha
- Klinik Jaya

Kata jamak
Salah
Betul
- mereka-mereka
- semua kereta-kereta
- para-para pelajar
- empat orang abang-abang
-mereka
-semua kereta
-para pelajar
-empat orang abang

Kata penguat
Salah
Betul
-sangat tinggi sekali
-sungguh jauh sekali
-paling indah sekali
-amat menakutkan sekali
-sangat tinggi
-sungguh jauh
-paling indah
-amat menakutkan

Kata adjektif dan imbuhan 'ter' tanpa penguat
Salah
Betul
-Sani mendapat markah yang tertinggi sekali.
-Hassan ialah peserta yang termuda sekali dalam pertandingan itu.
-Sani mendapat markah yang tertinggi .
-Hassan ialah peserta yang termuda dalam pertandingan itu.

kata hubung
Salah
Betul
-Sally sedang membaca bila saya tiba di rumahnya.
-Badannya besar kecuali kakinya kecil.
-Sally sedang membaca apabila saya tiba di rumahnya.
-Badannya besar tetapi kakinya kecil.

Kata bilangan
Salah
Betul
-Sekolah itu telah menjalan berbagai aktiviti semasa “Minggu Penyayang”.
-Beribu peniaga tidak membayar cukai pendapatan.
-Setengah remaja suka membuang masa di pasar raya.
-Sekolah itu telah menjalankan berbagai-bagaiaktiviti semasa “Minggu Penyayang”.
-Beribu- ribu  peniaga tidak membayar cukai pendapatan.
-Setengah- setengah remaja suka membuang masa di pasar raya.

* Sila berjumpa dengan guru Bahasa Malaysia anda untuk mengetahui keterangan bagi setiap kesalahan yang terdapat dalam jadual di atas. Bersama-samalah kita membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Promosi Hari Bahasa SSBJ 2012


Bila rasa pasti nak lagi!!!!!!

Dapatkan 'Pie' ini sementara stok masih ada. Buat tempahan awal sebelum terlambat........
PROMOSI KHAS SEMPENA HARI BAHASA SSBJ 2012

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Warga Asing Berbahasa Melayu

       Dewasa ini, golongan remaja yang bakal memimpin negara suatu masa nanti dilihat semakin alpa akan kepentingan berbahasa. Budaya asing seperti budaya hedonisme menjadi ikutan sehinggakan diri sendiri terabai akan kewajiban menuntut ilmu. Namun demikian, sedarkah anda bahawa ketika remaja Melayu sibuk "bershuffle", remaja Barat asyik mempelajari lenggok tarian zapin, Ketika kita ingin menjadi "Orang Putih", "Orang Putih" ingin menjadi kita kerana mereka tahu kehebatan Melayu? Jadi, usahlah dibanggakan budaya asing yang tidak diketahui pokok pangkalnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Penjodoh Bilangan

ANGKATAN 
Digunakan untuk kumpulan orang atau benda.
Contoh : tentera, belia, kapal.
Contoh ayat
  1. Negara kita mempunyai angkatan tentera yang berdisiplin.
  2. Orang ramai tidak sabar hendak melihat angkatan pesawat pejuang terbang di udara.

BARIS
Digunakan untuk orang dan benda-benda yang berbaris atau beratur.
Contoh : tulisan, pemain, murid, rumah, tiang.
Contoh ayat :
  1. Cikgu Hisyam menulis beberapa baris tulisan dalam suratnya.
  2. Terdapat tiga baris kedai di pekan itu yang belum disewakan.

BATANG
Digunakan untuk benda-benda yang panjang, leper dan keras.
Contoh : pen, pensel, gigi, kayu, pokok, sungai, pembaris.
Contoh ayat :
  1. Terdapat tiga batang sungai yang mengalir di kampung itu.
  2. Qayyum menjolok buah rambutan dengan sebatang galah panjang. 

BENTUK
Digunakan untuk benda-benda yang kecil dan berkeluk.
Contoh : pen, pensel, gigi, kayu, pokok, sungai, pembaris.
Contoh ayat :
  1. Terdapat tiga batang sungai yang mengalir di kampung itu.
  2. Qayyum menjolok buah rambutan dengan sebatang galah panjang.

BERKAS
Digunakan untuk benda-benda yang diikat dan dikumpulkan.
Contoh : rotan, kayu, pembaris, buluh.
Contoh ayat
  1. Ada seberkas sahaja lagi rotan yang belum dijual oleh pedagang itu.
  2. Lima berkas kayu digunakan sebagai bahan bakar untuk memasak lemang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hari Bahasa SSBJ

HARI BAHASA SSBJ

Tarikh  : 27 Mac 2012
Hari : Selasa
Tempat : Dataran Muhibah, SSBJ
Masa : 12.00 tengah hari - 2.40 petang

Pertandingan mencipta layang-layang akan diadakan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 3.

SIAPAKAH YANG BAKAL DINOBATKAN SEBAGAI 'RAJA LAYANG-LAYANG' SSBJ?

 Nantikan ketibaannya...


SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN :
  1. Setiap kumpulan perlu menyediakan bahan dan peralatan sendiri untuk membuat layang-layang bahasa.
  2. Hasil karya mestilah asli dan kreatif.
  3. Kerjasama dalam kumpulan SANGAT PENTING.
  4. Mereka corak dengan bahan-bahan yang berkaitan dengan Bahasa Malaysia.

HADIAH MENARIK MENANTI ANDA...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hari Bahasa SSBJ

HARI BAHASA SSBJ

Tarikh  : 27 Mac 2012
Hari : Selasa
Tempat : Dataran Muhibah, SSBJ
Masa : 9.15  pagi - 12.10 tengah hari

Pertandingan 'Master Chef' dan menghasilkan poster akan diadakan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5.

SIAPAKAH YANG BAKAL DINOBATKAN SEBAGAI 'MASTER CHEF' SSBJ?

 Nantikan ketibaannya...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Cara-cara Meningkatkan Perpaduan


Isu perpaduan sering diutarakan berulang-ulang kali dan akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi. Namun, banyak pihak yang akur dan mengakui bahawa perpaduan kaum di negara kita adalah lebih baik berbanding dengan sesetengah negara lain di dunia.

Antara usaha yang telah dan boleh dilaksanakan ialah :
  • Kerajaan perlu sentiasa mengingatkan rakyat agar mengutamakan aspek perpaduan.
  • Rakyat tidak seharusnya berasa jemu dengan peringatan itu malah sentiasa proaktif.
  • Pemimpin politik yang mewakili sesuatu kaum atau etnik tidak memainkan isu-isu perkauman yang sempit demi meraih populariti.
  • Semua pihak wajib mengelakkan pergeseran walaupun hanya pergeseran kecil.
  • Kerajaan telah berusaha secara berterusan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara contoh yang mengamalkan persefahaman kaum, toleransi beragama dan konsep perpaduan nasional.
  • Peranan anggota masyarakat serta ibu bapa mendidik generasi muda agar menerima dan mengamalkan konsep perpaduan.
  • Mengurangkan atau mengecilkan jurang perbezaan yang masih terdapat antara kaum seperti jurang ekonomi, polarisasi petempatan dan kerjaya.
  • Mengeratkan perhubungan dengan cara menyertai sambutan perayaan bersama-sama seperti program rumah terbuka, kunjung-mengunjungi, usaha sama dalam perniagaan dan lain-lain.
  • Menarik lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai pasukan polis dan angkatan tentera serta menjadi kakitangan kerajaan.
  • Menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang kerap seperti kejohanan sukan, pameran dan kesenian.
  • Menggalakkan perkahwinan campur.
  • Peranan pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlu dimaksimumkan.
  • Meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pasukan keselamatan bagi menjaga ketenteraman negara daripada ancaman musuh dari luar dan dalam.
  • Kerajaan mestilah mengutamakan keadilan dalam setiap aspek.
  • Kenali segera punca dan sebab tercetusnya sesuatu pergeseran dan tindakan segera juga perlu diambil bagi menanganinya.
  • Semua golongan mestilah sentiasa memohon doa kepada Tuhan agar negara kita sentiasa kekal aman sentosa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS